JAN 2 — Tirai tahun baru masihi 2010 dibuka dengan keputusan kontoversi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu ini. Keputusan Yang Arif Hakim Datuk Lau Bee Lan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan akhbar Herald untuk menggunakan perkataan "Allah" sebagai ganti nama "God" bagi penerbitannya dalam versi Bahasa Melayu telah mencetuskan satu polemik dan kontorversi yang tidak sepatutnya berlaku.
Keputusan itu mengingatkan saya kembali kepada kes Natrah @ Maria Hertough pada tahun 1950 dimana mahkamah penjajah Inggeris dimana hakimnya yang bukan Islam telah, dalam keputusannya membatalkan keislaman Natrah dan perkahwinannya kepada Almarhum Mansor Adabi, langsung tidak mengambil kira perundangan syariah dan sensitiviti umat Islam semasa itu. Akhirnya tercetuslah rusuhan dan huru hara yang tidak membawa menafaat kepada sesiapa pun.
Saya berpendapat keputusan Hakim Datuk Lau Bee Lan adalah tidak tepat dan boleh dipertikaikan, malahan akan menyebabkan kekeliruan dan menganggu ketenteraman dan keselamatan awam atas sebab-sebab berikut:
1. Keputusan itu secara tidak langsung mencabar dan melanggar Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang mempertuntukkan fahaman dan dakyah agama lain tidak dibenarkan samasekali terhadap orang Islam. Membenarkan pernerbitan Kristian menggunakan perkataan Allah bagi penerbitan berbahasa Melayu jelas adalah satu bentuk dakyah halus kerana Melayu adalah bangsa yang beragama Islam;
2. Ini sekaligus mencabar dan tidak menghormati Artikel 160 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa orang Melayu mestilah beragama Islam;
3. Dengan membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam risalah penerbitan Kristian, ini sebenarnya dikira akan mendorong penganut Kristian dalam perlakuan jenayah kerana Enakmen Penyekatan Pengembangan Agama, Iktikad dan Kepercayaan Lain terhadap Orang Islam (Anti Propagation Law), yang digubal dengan sahnya menurut Artikel 11 Perlembagaan dibeberapa negeri jelas memperuntukkan bahawa adalah satu kesalahan jenayah bagi sesiapa menggunakan perkataan tertentu termasuk "Allah" kecuali bagi maksud Islam;
4. Keputusan tersebut akan menyebabkan kekeliruan termasuk bagi penganut agama Kristian kerana memberi gambaran Tuhan mereka berubah nama mengikut bahasa yang digunakan. Sedangkan nama tuhan bagi tiap agama mestila konsisten tidak kira apa bahasa. Lihat agama Buddha, Yahudi, Hindu dan lain-lain. Nama tuhan mereka tetap sama tidak kira dalam apa bahasa sekalipun. Tetapi mengapa agama Kristian berubah nama Tuhannya menurut kaum dan bahasa?
5. Kekeliruan lebih serius akan berlaku dikalangan penganut agama Kristian apatah lagi bila sermon tiap hari Ahad contohnya mula menggunakan perkataan Allah sebagai ganti nama God. Bagaimana dengan ucapan lazim penganut Kristian saperti:
"God created the world in 6 days and on the 7th day he rested"; atau "In the name of god the father, god the son and god the holy spirit" apakah ianya berubah menjadi "Allah created the world in 6 days and on the 7th day He rested"; atau "In the name of Allah the Father, Allah the son and Allah the holy spirit?" Saya telah bertanya rakan dan kenalan dikalangan penganut Kristian dan mereka sendiri melihat perkara ini sebagai memalukan agama Kristian. Ramai dikalangan penganut Kristian sendiri yang tidak bersetuju dengan tindakan segelintir Kristian yang beriya-iya mahukan nama Allah menggantikan nama God.
6. Ada kalangan penganut Kristian akan mula berasa ragu dan keliru dengan perubahan nama tuhan mereka. Mereka bertanya mengapa nama tuhan mereka berbeza-beza. Kenapa dalam Bahasa Inggeris disebut Jesus dan lain-lain, tetapi didalam bahasa Melayu disebut Allah. Mereka khuatir agama Kristian akan dilihat sebagai agama hipokrit kerana nama tuhan mereka boleh berubah-ubah mengikut kaum dan bahasa.
7. Keputusan itu juga akan membolehkan penganut Kristian mengguna dan mempamerkan nama "Allah" digereja-gereja dan lain-lain tempat peribadatan mereka. Saya tidak boleh nak membayangkan bagaimana nanti disalib-salib, di perkarangan gereja dan lain-lain nama Allah tertera. Apakah pihak gereja dan penganut kristian bersedia berbuat sedmikina? Dan tidakkah ini nanti akan menyentuh sensitiviti umat Islam yang sudah pasti akan bertindak balas. Tidakkah mahkamah sedar gangguan terhadap ketenteraman awam yang serius akan berlaku yang akan mengancam keselamatan orang ramai dan negara.
8. Kesilapan mahkamah menolak permohonan pihak Majlis Agama Islam dan beberapa NGO Islam untuk melibatkan diri (intervene) dalam prosiding tersebut telah menyebabkan mahkamah tidak mendapat maklumat dan hujahan secukupnya berkenaan dengan isu ini. Saya hairan mengapa mahkamah tidak merujuk perkara ini kepada Majlis Fatwa kebangsaan atau pihak berkuasa Islam untuk mendapatkan pandangan dan nasihat mereka sebelum membuat apa-apa keputusan.
9. Selanjutnya, tidak ada keterangan yang mencukupi dan jelas berkenaan penggunaan perkataan Allah dikalangan Kristian di Malaysia. Apakah statistik yang diguna pakai. Berapa ramai sebenarnya Melayu Kristian yang benar-benar menaggunakan perkataan Allah sebagai ganti nama God. Apakah sekadar menyandarkan kepada beberapa buah buku dan tulisan sudah cukup? Sepatutnya mahkamah mengambil keputusan memanggil keterangan pakar-pakar anthropologi, sejarah, bahasa dan lain-lain sebelum membuat keputusan. Apa yang jelas, dalam bahasa Melayu perkataan ganti bagi God ialah Tuhan, bukannya Allah. Manakala ini berbeza dengan bahasa Arab kerana tiada perkataan God dalam bahasa mereka kecuali Allah!
10. Penyandaran terhadap Artikel 3 dengan menyatakan penganut agama kristian dijamin kebebasan dalam mengamalkan amalan agama mereka adalah jelas tidak tepat. Saya rasa kalau mahkamah meminta tinjauan dan referendum dibuat dikalangan penganut agama kristian dibuat, saya cukup pasti majoriti besar akan menolak penggunaan perkataan Allah sebagai ganti perkataan god.
Saya berpendapat kalau golongan Kristian benar-benar mahu menggunakan perkataan Allah sebagai ganti nama God, maka saya cadangkan dilakukan perkara berikut:
1. Item pertama Rukunegara iaitu "Kepercayaan kepada Tuhan" hendaklah ditukar kepada "Kepercayaan kepada Allah" memandangkan perkataan Allah diakui sebagai gantinama God. Yang menghairankan saya, semasa penggubalan deraf Rukunegara tersebut, ada golongan bukan Islam yang membantah perkataan "Allah" digunakan atas alasan ianya nama Tuhan orang Islam, sebaliknya mendesak perkataan "Tuhan" sebaliknya digunakan!!
2. Semua sermon digereja dan penulisan Kristian hendaklah menggantikan perkataan God kepada Allah tidak kira dalam versi atau bahasa apa sermon atau penulisan tersebut digunakan. Sekiranya tidak agama Kristian akan dilihat sebagai tidak konsisten dalam soal nama ketuhanan mereka.
Saya juga menyeru dan mendesak tindakan berikut diambil segera:
1. Majlis Fatwa Kebangsaan hendaklah bermesyuarat segera dan membuat fatwa dan keputusan tentang penggunaan perkataan Allah ini. Kita tidak mahu ada dikalangan kita mengeluarkan pendapat yang berbeza-beza, apatah lagi dikalangan orang dan kumpulan tertentu yang sentiasa membuat kenyataan yang bersifat populis tanpa mengambil kira kesannya terhadap agama Islam. Setelah fatwa tersebut dibuat, maka semua pihak berkuasa Islam negeri hendaklah segera menggazetkan fatwa tersebut;
2. Kerajaan Persekutuan hendaklah dengan segera menggubal dan melaksanakan undang-undang Akta Sekatan Pengembangan dan Dakyah Agama Lain ke atas orang Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak kerana negeri-negeri lain telah lama melaksanakannya, mengapa 4 negeri ini masih belum menggubalkannya. Sekiranya Akta tersebut ujud, sudah tentu keadaan akan berbeza kerana ianya akan menjadi suatu kesalahan jenayah untuk menggunakan perkataan "Allah" untuk tujuan selain Islam sebagaimana yang diperuntukkan di negeri-negeri lain;
3. Pihak berkuasa agama, majlis agama, para mufti dan badan dakwah saperti YADIM dan lain-lain hendaklah segera turun ke padang dan mengadakan pertemuan dan berdialog dengan golongan Kristian ini untuk mencari jalan penyelesaian yang boleh disepakati. Saya kira kegagalan pihak-pihak ini mengambil tindakan segera dengan mengadakan pertemuan dan berdialog dengan pihak kristian ini telah menyebabkan kecetekan kefahaman mereka terhadap Islam. Daripada menyibukkan diri dengan kerjaikerja tak berfaedah saparti menangkap ulama dan penceramah tak bertauliah dan lain-lain, lebih baik pihak berkuasa agama ini menumpukan perhatian kepada yang lebih serius ini.
4. Pihak Kementerian Dalam Negeri hendaklah memanggil golongan Kristian ini dan mengadakan dialog dengan mereka. Sekiranya KDN merumuskan penerbitan-penerbitan seperti Herald ini boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan rakyat, KDN tidak perlu teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan permit penerbitan mereka jika perlu.
5. Kita perlu mengkaji semula sistem perundangan kita terutamanya dalam isu-isu yang membabitkan hal ehwal Islam termasuk perundangan dan syariatnya perlu dirujuk dan dibicarakan di Mahkamah Syariah;
6. Atau sebagai alternatif, apa-apa isu yang berbangkit berkenaan Islam dalam apa bentuk sekalipun termasuk di Mahkamah Sivil hendaklah dirujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan atau Mahkamah Syariah atau apa-apa Badan Perundangan Syariah untuk suatu keputusan; dan keputusan itu hendaklah mengikat Mahkamah Sivil dan wajib dipatuhi. Bagi maksud itu, suatu pindaan perlu dibuat kepada Akta Mahkamah Kehakiman (Court of Judicature Act) untuk memasukkan peruntukkan tersebut. Ini akan memastikan perkara saperti ini tidak berulang lagi dimasa akan datang.
Rumusan:
Saya melihat kes Herald ini adalah saperti suatu ulangan kes Natrah, dimana kewibawaan dan kemuliaan agama Islam dicabar. Kalau dalam kes Natrah, kita mempunyai alasan untuk menyatakan kita tiada kuasa kerana diperintah penjajah Barat. Tapi apakah alasan yang sama kita boleh gunakan sekarang, dalam keadaan kita memerintah, dalam keadaan umat Islam menguasai hampir 135 kerusi Parlimen yang walaupun bukan 2/3 tetapi merupakan majoriti mutlak! Yang sepatutnya membolehkan kita menentukan hala tuju agama Islam dan membela serta mempertahankan maruah agama kita. Kalau dalam membela dan mempertahankan Islam dalam kes Natrah orang Melayu sanggup menggadai nyawa, apatah kita bangsa Melayu moden yang hebat serba-serbi ini tidak mampu berbuat apa-apa. Tepuk dada tanyalah iman masing-masing.
Zulkifli Noordin ialah Ahli Parlimen Kulim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan