Saya merujuk kepada kenyataan semalam oleh Wan Ahmad Wan Omar, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa terdapat lebih kurang 28% atau 4.39 juta rakyat Malaysia yang berumur lebih 21 tahun yang masih belum belum mendaftar sebagai pengundi sehingga akhir tahun lalu.
Timbalan Pengerusi SPR tersebut juga berkata SPR akan melipatgandakan usaha pendaftaran pemilih melalui pelbagai aktivitinya, termasuk kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan melantik penolong pendaftar dari kalangan parti-parti politik.
Walaupun dengan usaha-usaha SPR yang berterusan tersebut, jumlah rakyat Malaysia yang tidak mendaftar dengan SPR sebagai pengundi akan tetap berterusan.
Sebaliknya, SPR harus bertanya, kenapa rakyat Malaysia harus mendaftar sebagai pengundi?
Setiap rakyat Malaysia sepatutnya mempunyai hak mengundi selepas mencapai umur 21 tahun.
Kewujudan sistem pendaftaran secara manual hanya akan menyebabkan sesetengah rakyat Malaysia tidak dapat mengundi di Pilihanraya Umum. Pada masa ini, rakyat yang malang tersebut adalah 28% daripada jumlah rakyat Malaysia, berdasarkan statistik yang diberi pada akhir tahun lepas.
Tambahan lagi, sistem pendaftaran pengundi secara manual tersebut hanya akan membazirkan sumber dan masa kerajaan.
Pada masa ini, ia adalah wajar bagi SPR untuk mengkaji kaedah bagi memperbaiki sistem sedia ada bagi membolehkan semua rakyat Malaysia mengundi di mana-mana pilihanraya.
Oleh itu, saya mencadangkan agar SPR mempertimbangkan pelaksanaan sistem pendaftaran pengundi secara automatik bagi semua rakyat Malaysia yang mencapai umur 21 tahun berdasarkan maklumat yang diperolehi dari Jabatan Pendaftaran Negara.
Kawasan undi akan berdasarkan alamat terakhir yang diberi oleh Jabatan Pendaftaran Negara kecuali ia dikemaskinikan oleh pengundi.
*Kenyataan media oleh Tan Keng Liang selaku Ketua Pemuda Gerakan Kedah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan