JOHOR BARU: Tunku Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang baru di Istana Besar Johor Baharu di sini hari ini diyakini dapat memerintah dengan baik.
Menurut anggota polis Lans Koperal Md Akhir Yusuf, 53, ini berdasarkan reputasi baik baginda yang rapat dengan rakyat jelata di Johor melalui aktiviti-aktiviti bersama rakyat yang dianjurkannya.
"Kita harap baginda akan dapat mentadbir negeri ini dengan baik dan akan terus rapat dengan rakyat jelata," katanya ketika ditemui pada istiadat penghormatan terakhir Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail di istana tersebut hari ini.
Sultan Iskandar mangkat pada pukul 7.15 malam semalam di Hospital Pakar Puteri di sini.
Kemangkatan almarhum itu menyedihkan sekian rakyat Johor namun bagi Shahrul Hassan, 39, pengganti almarhum itu mempunyai kredibiliti yang setaraf dengan almarhum bagi memerintah Johor.
Bekas guru English College (kini Maktab Sultan Abu Bakar), Tan Koh Lim yang pernah menjadi guru matapelajaran Geografi kepada Tunku Ibrahim dan adik beradik baginda yang lain juga percaya baginda dapat memerintah secara adil dan saksama.
"Mengenali almarhum secara peribadi, saya percaya almarhum telah menerapkan nilai-nilai yang baik kepada anakanda-anakanda baginda seperti menghormati guru.
"Maka saya yakin dengan kredibiliti Tunku (Ibrahim) Ismail sebagai Sultan negeri ini," katanya.
Presiden Masyarakat Sikh Johor, Datuk Ir Mokkam Singh berharap Tunku Ibrahim akan meneruskan kesinambungan almarhum ayahanda baginda di dalam menolong rakyat.
Sebagai contoh katanya, almarhum pernah memberikan satu lot tanah kepada masyarakat Sikh bagi membina kuil di Jalan Trus dan amalan seperti ini diharap dapat diteruskan oleh Tunku Ismail. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan