Selasa, 27 April 2010

Hulu Selangor: Anugerah Dari Kegagalan





Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim akur dengan kekalahannya pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.



Menurutnya, kekalahan itu bukanlah penentu kepada kejatuhan PKR tetapi bakal bangkit dengan kemenangan pada pilihan raya umum ke 13.



“Saya boleh terima kekalahan saya dan saya percaya semua terima kekalahan ini sebab dalam pertandingan pasti ada yang tewas.



“Tetapi biarlah rakyat negara ini merasa mereka tewas bukan kerana ditipu. Tewas kerana kita ingin kestabilan negara dan rakyat mestilah diberi keyakinan bahawa tidak sia-sia undi itu,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 300 penyokong PKR di Stadium Kuala Kubu Baru di sini selepas pengumuman kekalahannya malam semalam.



Turut hadir, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Naib Presiden PKR, Azmin Ali, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh dan Pengarah Strategik PKR, Tian Chua.



Zaid berkata, apa yang dihadapi ialah satu sistem politik yang teruk dan pemimpin yang tidak hormat pada undang-undang.



Beliau mendakwa pilihan raya kecil kali ini adalah yang paling buruk dan penuh dengan rasuah dalam sejarah pilihan raya kecil.



“Kita berdepan dengan mereka yang membeli dan menghalalkan undi tidak kira di waktu siang mahupun malam.



“Saya harap penyokong-penyokong kita bersabar dan usah risau dengan keadaan ini kerana saya boleh menghadapi cabaran ini.



“Saya berjanji saya akan sama-sama dengan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan bekerja keras dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti,” katanya.



Beliau berharap pengundi di Hulu Selangor akan dapat memahami dan menerima perjuangannya selepas ini.



Dalam keputusan semalam, Barisan Nasional memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor dengan calonnya, P Kamalanathan memperoleh 24,997 undi, sementara Zaid hanya mendapat 23,272 undi. Kamalanathan menang dengan majoriti 1725 undi.



Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan pada pukul 9.15 malam tadi di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru. -SK



Ulasan GB



Sebaik saja berita kekalahan PKR diterima, GB malam tadi memutar sebuah lagu "Anugerah Dari Kegagalan" nyanyian Datok Shake. Ramai tertanya apa ertinya kegagalan Pakatan Rakyat di Hulu Selangor?



Bagi yang memahami, menang atau gagal adalah satu anugerah.



Gagal itu juga satu syurga. Kerana selepas ini Hulu Selangor akan dibangunkan oleh BN seperti yang mereka janjikan. Ratusan juta perlu dicurahkan bagi memenuhi janji itu.



Kemudiannya, Pakatan Rakyat akan merampas kerusi itu semula seperti Ijok.



Maka bukankah itu satu anugerah?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan