Oleh Masdar Wahid (Emel penulis ini)
KUALA LUMPUR : PAS komited untuk membantu mana-mana komponen Pakatan Rakyat (PR) yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Sibu yang kosong sejak 9 April lalu.
Ketua Pemudanya, Abang Addy Aliyanni berkata, Dewan Pemuda PAS negeri akan mengadakan satu pertemuan penting Pemuda PR pada 18 April ini.
Menurutnya, pertemuan itu adalah atas Agenda Resolusi bersama sebagai persiapan Pemuda PR menghadapi PRK Parlimen Sibu.
“Dewan Pemuda PAS Sarawak bersedia membantu Pilihanraya Parlimen Bandar Sibu yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Namun begitu berkemungkinan ia akan diadakan serentak dengan pilihan raya negeri yang sedang disebut-sebut sekarang ini.
“Dewan pemuda sarawak (turut) mengucapkan takziah kepada keluarga Datuk Robert Lau Chew atas pemergian Datuk Robert Lau akibat barah,” katanya dalam satu kenyataan.
PRK Parlimen Sibu kosong selepas penyandangnya Robert Lau meninggal dunia akibat kanser pada 9 April lalu.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Robert mendapat majoriti 3,235 selepas menewaskan Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng yang meraih undi 15,903 dan Lim Kim Chuen dari PKR yang membolot 812 undi.
Sehubungan itu, PRK mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.
Difahamkan, PKR dan DAP sedang berbincang berhubung siapa yang akan bertanding di kawasan itu.
Dalam perkembangan lain, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Negeri Sarawak, Tuan Haji Jofri Jaraiee, berkata, parti itu menyambut baik saranan Setiauasaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali agar PAS negeri tidak membincangkan secara terbuka berhubung agihan kerusi di media kerana akan dimanipulasi oleh pihak lawan.
Jofri yang juga Yang Di Pertua (YDP) PAS Kawasan Miri menjelaskan kerjasama mantap antara komponen PR di Sarawak seharusnya dikukuhkan lagi menjelang Pilihan Raya negeri Sarawak yang kian hampir.
Jofri memberi contoh, bagaimana Sekreteriat PR di kawasan Miri berjaya memantapkan gabungan itu melalui Pentas Pemuda PR yang diadakan baru-baru ini.
“Kami yakin kerjasama baik ini akan mampu diteruskan ke arah momentum baik untuk berhadapan BN kelak,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan