Selasa, 27 April 2010

UMNO BN, Jangan Suka Sangat...






Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kemenangan parti itu dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor hari ini sebagai satu "perubahan besar."



Katanya, ini disebabkan pemilihan kali ini berlangsung di sebuah negeri yang dikuasai pembangkang.



Kejayaan itu juga, tambahnya, bermakna pengundi telah menolak cara politik pembangkang dengan "menabur fitnah dan pembohongan."



Bercakap kepada pemberita selepas keputusan rasmi Hulu Selangor diumumkan malam ini, perdana menteri berkata, pencapaian BN juga tidak seharusnya dibandingkan dengan keputusan Mac 2008.



"Jangan bandingkan keputusan 2008, tapi dengan waktu penaman calon, dan bila penghabisan pembuangan undi, saya percaya ada perubahan. Belum sepenuhnya tapi ada perubahan.



"Dengan kemenangan ini bererti kita akan bekerja bersungguh-sunguh untuk memenuhi amanah rakyat," katanya di pusat penjumlahan undi di dewan serbaguna Hulu Selangor.



Menurutnya lagi, kemenangan P Kamalanathan membawa erti yang besar kepada BN.



"...kerana kalau kita lihat keputusan 2008, dan keputusan pada kali ini bererti sudah ada peralihan sokongan kepada BN.



"BN menghampiri 2,000 undi dan ini merupakan satu 'shift' yang sangat besar ertinya sebab kita bertanding di sebuah negeri yang dikuasai pembangkang. Kalau dulu Selangor dikuasai BN," tambahnya.



Calon Barisan Nasional (BN) P. Kamalanathan dari MIC, muka baru dalam pilihan raya, menerima 24,997 undi manakala calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim memperioleh 23,272.



Walaupun BN menang dengan majoriti 1,725 undi, tetapi ia jauh lebih kecil daripada kira-kira 6,000 yang disasarkan oleh Muhyiddin.



Menjawab soalan berhubung majoriti lebih kecil berbanding sasaran 6,000 diletakkan oleh Muhyiddin, Najib memberitahu majoriti diperoleh mengecil kerana kerajaan negeri tidak dikawal oleh BN.



“Kami menyedari ini negeri pembangkang. Pada masa lalu kami mengawal negeri, kami ada kekuatan antara kerajaan-kerajaan negeri dan persekutuan. Jadi dalam konteks ini, saya gembira dengan keputusan ini,” kata beliau.



Berhubung kekalahan di kawasan-kawasan majoriti pengundi Cina, Najib melihat ada peningkatan berbanding pilihan raya umum 2008.



“Saya tidak mahu membuat rumusan cepat walaupun kami tewas di kebanyakan peti undi di kawasan masyarakat Cina. Kami tewas tetapi berdasarkan pada permulaan kempen, saya percaya ada peningkatan,” kata Najib yang juga Pengerusi Umno Selangor.



Pada sidang tengah hari tadi, Muhyiddin berkata, pihaknya meletakkan sasaran KPI majoriti 6,000 undi dengan mengambil kira prestasi peringkat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri pada 8 Mac 2008 yang dimenangi BN.



Sebelum keputusan diumumkan, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang ditemui wartawan berkata, pihaknya tetap gembira dengan pencapaian walaupun meletakkan awalnya meletakkan sasaran lebih tinggi.



Tengku Adnan juga mengakui BN tidak memperoleh undi yang memuaskan daripada kalangan masyarakat Cina di Hulu Selangor.



“Undi yang kami peroleh daripada masyarakat Cina lebih rendah berbanding pilihan raya umum 2008. BN menerima sokongan besar daripada kalangan pengundi Melayu dan India.



“Kami akan lakukan bedah siasat mengapa pengundui Cina tidak memihak kepada BN dan akan membantu menyelesaikan isu mereka hadapi,” katanya.



Di peringkat awal perjumlahan rasmi undi, Zaid, anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR mendahului Kamalanathan ketika keputusan 100 daripada 137 peti undi diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.



Ketika di peringkat itu Zaid berada di depan dengan majoriti antara 1,000 hingga 1,500 undi.



Bagaimanapun, Kamalanathan mengatasi kedudukan itu apabila peti-peti undi dari kawasan Felda diumumkan.



Kamalanathan, Ketua Penerangan MIC pusat pula berkata beliau akan menyenaraikan senarai masalah dan janji kepada penduduk Hulu Selangor.



“Ini akan menjadi keutamaan saya,” katanya.



Dalam pilihan raya umum 2008, PKR menang dengan majoriti 198 undi.



Ulasan GB



Jika dahulu sewaktu Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa Datuk Seri Nizar sebagai MB Perak yang sah, Najib telah memberi amaran kepada PR suapa "jangan suka sangat" yang kemudiannya Mahkamah Persekutuan telah menterbalikkan keputusan hakim Mahkamah Tinggi berkenaan dengan memberikan kemenangan kepada Zamry, bukan Nizar.



Kini, rakyat ingin memberitahu kepada Najib, "jangan suka sangat.." dengan kemenangan di Hulu Selangor kerana ada dua mahkamah bakal menentukan, mahkamah rakyat dan Mahkamah Tuhan yang pada bila-bila masa akan ada kuasa untuk menghukum semula UMNO BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan