Rabu, 5 Mei 2010
Suspek serangan bom di Times Square ditangkap
BEBERAPA pegawai penguat kuasa menggeledah rumah Faizal di Bridgeport Amerika Syarikat semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
NEW YORK - Polis Amerika Syarikat (AS) menangkap seorang warga AS kelahiran Pakistan, Faizal Shahzad berkaitan serangan sebuah bom kereta di Times Square New York yang gagal, kata beberapa pegawai penyiasat semalam.
Dia ditangkap ketika cuba menaiki sebuah pesawat untuk menuju ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dari Lapangan Terbang John F. Kennedy, New York.
Menurut beberapa penyiasat, buruan untuk menangkap beberapa suspek lain akan diperhebatkan.
Faizal berusia 30 tahun yang tinggal di Connecticut ditangkap kerana didakwa memandu kereta tersebut pada malam Sabtu lalu.
Dia dilaporkan baru pulang dari 'percutian' selama lima bulan di Pakistan termasuk di bandar Peshawar yang cukup dikenali sebagai pusat pertemuan bagi pelatih-pelatih kumpulan Al-Qaeda dan Taliban.
Dia didapati membeli sebuah SUV Nissan Pathfinder terpakai pada harga AS$1,300 (RM4,172) secara tunai.
Kereta itu yang mengandungi bahan letupan diletakkan di sebatang jalan raya di sini pada Sabtu lalu.
Kenderaan berwarna gelap yang sarat dengan tangki gas propana, mercun, minyak petrol dan jam ditemui di sebatang jalan raya berhampiran Broadway.
Keadaan kenderaan yang berasap dan mencurigakan itu telah menyebabkan dua orang peniaga di situ melaporkannya kepada polis.
Justeru, kawasan yang sesak dengan pengunjung pusat beli-belah dan teater Broadway itu terpaksa ditutup selama hampir 10 jam.
Peguam Negara AS, Eric Holder berkata, siasatan akan diteruskan dengan melibatkan pelbagai aspek dan ia dilakukan secara agresif.
Pada Isnin lalu, para penyiasat menolak penglibatan Al-Qaeda dalam serangan tersebut.
Sementara itu, ejen-ejen Agensi Perisikan Pusat (FBI) telah menggeledah rumah Faizal di Bridgeport, Connecticut dan membawa keluar beberapa beg plastik. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan