Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 17 Jun: Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) melihat pengumuman kerajaan pusat berhubung "penangguhan" pemberian lesen judi Ascot Sports Sdn Bhd sebagai dolak dalik berterusan Umno kepada rakyat.
Menurut setiausahanya, Suhaizan Kayat (gambar), berkata pengumuman itu langsung tidak menepati hasrat rakyat yang mahu segala kelulusan berkaitan perjudian diharamkan dan bukan ditangguhkan.
"Kalau tangguh bermaksud satu masa nanti dia akan luluskan juga.
"Bila desakan rakyat reda, desakan Vincent Tan pula kuat, ianya akan diteruskan juga," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, penangguhan serupa pernah dibuat pada zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu beliau menjadi perdana menteri pada tahun 2004 namun kemudian diteruskan pula pada zaman Datuk Seri Najib tahun ini.
Penangguhan katanya, bukan satu keputusan konkrit kerana sejarah sama 2004 tersebut akan terus berulang.
"Kita minta satu perkataan sahaja iaitu "mansuh", jangan berdolak dalik kata itu la ini la," katanya yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat.
Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim memberitahu keputusan pemberian lesen judi oleh kerajaan pusat kepada Ascot Sports Sdn Bhd telah ditangguhkan bagaimanapun gagal memberitahu bila tarikh penangguhan itu dibuat.
Sementara itu, GMJ akan meneruskan kempen mereka dengan menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada Datuk Seri Najib pada 23 Jun ini di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Isnin lalu, mereka telah menyerahkan memorandum sama ke Dewan Rakyat dengan harapan ianya dibangkitkan dalam perbahasan parlimen.
GMJ antara lain menuntut tiga perkara pokok iaitu menarik balik lesen judi sukan, menguatkuasakan undang-undang judi dan memperhebatkan kempen kesedaran kepada masyarakat supaya membenci judi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan