Isnin, 14 Jun 2010
Ketua Liga Arab lawat Gaza
Amr Mussa (dalam bulatan) melambaikan tangan semasa melawat sebuah sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Beit Lahiya, utara Genting Gaza semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
BANDAR GAZA - Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Mussa semalam menggesa supaya sekatan selama empat tahun yang dikuatkuasakan Israel ke atas Genting Gaza, Palestin ditamatkan.
Beliau membuat desakan itu semasa melawat wilayah Palestin berkenaan yang daif akibat sekatan rejim Zionis.
Kunjungan pertama Amr berlangsung ketika memuncaknya desakan agar lintasan-lintasan sempadan ke Gaza dibuka semula setelah pasukan komando Israel membunuh sembilan sukarelawan apabila mereka menyerbu kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke wilayah Palestin itu pada 31 Mei lalu.
"Sekatan itu mesti ditamatkan dan pendirian Liga Arab mengenai isu ini adalah jelas," kata Amr selepas beliau disambut oleh pegawai-pegawai daripada beberapa kumpulan pejuang Palestin di lintasan sempadan Rafah yang menghubungkan Gaza dengan Mesir.
"Bukan sahaja bangsa Arab, tetapi seluruh dunia perlu bangkit bersama dengan penduduk Palestin untuk menentang kepungan ke atas Gaza," katanya.
Pembantu Musa, Hisham Yussef memberitahu, lawatan 10 jam itu bertujuan untuk menyatakan sokongan dunia Arab kepada warga Palestin di samping menggesa agar usaha untuk menyatukan kumpulan-kumpulan yang berpecah di Palestin dipertingkatkan.
Bercakap kepada wartawan di lintasan Rafah, Amr mengulangi seruan supaya kumpulan Fatah dan Hamas berusaha menyelesaikan jurang perbezaan mereka serta menuju ke arah perdamaian.
"Penyatuan adalah persoalan yang menjadi teras dan dasar. Ia memerlukan daya usaha dan bukan sekadar melibatkan tandatangan pada perjanjian semata-mata. Ia merupakan dasar yang perlu diterjemahkan melalui persetujuan berhubung semua isu," katanya.
Sejumlah 1.5 juta penduduk Gaza yang ditadbir kumpulan Hamas berada di bawah sekatan Israel-Mesir yang dilaksanakan ke atas wilayah berkenaan sejak Jun 2006 setelah kumpulan pejuang Palestin menawan seorang askar Israel, Koperal Gilad Shalit dalam satu serbuan melintasi sempadan. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan