Oleh: ruhan
"Nampaknya isu ulama muda masuk UMNO menjadi semakin hangat apabila banyak pihak terlibat memperkatakannya. Benda yang pada mulanya kelihatan biasa, rupa-rupanya bertukar menjadi luar biasa kerana prosesnya diselaputi pelbagai kontroversi.
Yang masuk bukan sahaja tidak seberapa tetapi juga tidak berkualiti, tidak berkredibiliti, dan tidak berintegriti. Pandangan ini dilontarkan kerana kedapatan pelbagai tafsiran terhadap kewujudan mereka. Mereka masih muda, tidak dikenali, tiada pengalaman, muncul secara tiba-tiba, tidak memiliki khazanah ilmu yang cemerlang, dan mempunyai matlamat yang amat kecil apabila menyertai UMNO.
Ketika banyak pihak yang mempertikaikan hal ini, UMNO mengambil pendekatan untuk mempertahankan diri. Fathul menegaskan bahawa mereka yang mendakwa ditipu sebenarnya tidak diundang. Dia mengkesampingkan fakta UMNO menipu dari segi bilangan yang masuk dan pengkategorian palsu kesemua mereka sebagai ulama. Mereka hanya layak dipanggil penceramah agama. Shahidan pula bertegas mereka yang mendakwa ditipu itu hendak juga pergi walaupun dihalang. Kedua-dua kenyataan itu tidak selari dan mengelirukan. Fathul seolah-olah tidak tahu menahu tentang Hosni dan kawan-kawannya. Hosni tahu dan kenal Fathul. Shahidan sudah pasti mengenali Wahab Abdullah. Apabila Hosni menjelaskan dia dihubungi seorang ustaz dalam UMNO untuk ke majlis itu dan tidak dinafikan oleh Fathul mahupun Shahidan, nyatalah bahawa dia bercakap benar. Nak bagi tahu atau tidak siapa ustaz tersebut, itu soal lain. Kesimpulannya, UMNO sanggup menipu sekalipun dalam hal-hal keagamaan. Soalnya, mengapa memilih pendekatan sekeji itu.
Yang sudah berada dalam UMNO nampaknya mengambil sikap proaktif. Mereka ingin mendakwahi Pemuda UMNO dari dalam. Oh, rupa-rupanya mereka ialah Pendakwah Pemuda UMNO!!! Mereka mengemukakan satu perancangan kepada Pemuda UMNO. Keimanan Pemuda UMNO hendak ditingkatkan. Jika usaha ini berjaya, tidak ada lagi amalan rasuah, kronisme, nepotisme, penyalahgunaan kuasa, dan sebagainya dalam Pemuda UMNO selepas ini. Mungkin Ketua Pemuda Pusat, Ketua Pemuda Negeri, barisan EXCO, dan AJK mereka semuanya bersih; tidak terlibat dengan politik wang. Alangkah bagusnya anak Melayu dalam UMNO. Pendek kata, semuanya sudah alim.
Tapi sayang, tiada siapa yang mendakwahi Putera dan Puteri UMNO. Apatah lagi ibu-ibu dalam Wanita UMNO. Hanyutlah semua mereka ini. Gagallah usaha pentarbiahan itu. Kasihannnnn!!!
Namun demikian, air dalam cawan UMNO sentiasa berkocak. Kehadiran insan-insan itu tidaklah menggembirakan semua pihak. Komen PM pun hambar sahaja. Dia sekadar berkata UMNO tak akan jadi ekstrem. Memang tak jadi ekstrem, tapi diresapi fahaman Wahabi. Dr. M pun tidak begitu ghairah. Khairy sendiri tidak ceria memperkatakannya. Tak mahukah dia ikut berdakwah atas pentas nanti?
Yang tak enak didengar ialah kritikan agamawan veteran dalam UMNO. Nakhaie tidak bersetuju dengan gelaran yang disangkutkan kepada Pendakwah Pemuda UMNO itu. Baginya, mereka itu terlalu kecil untuk memikul gelaran yang sebegitu besar. Satu perkara lagi ialah pemikiran yang dibawa Dr. Asri akan meresapi UMNO hingga ke akar umbi. Mungkin ini taktik yang digunakan Dr. Asri. Dia sedang memerhatikan perkembangan yang sedang dan akan berlaku sekarang ini.
http://bilahrotan.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan