Datuk Dr Hasan Ali tidak pernah lekang dirundung kontroversi dan kali ini pesuruhjaya PAS Selangor dan pakar motivasi itu, dikaitkan lagi dengan isu kerjasama Umno-PAS.
Selepas selamat daripada diheret ke muktamar khas seperti cadangan awal Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat tahun lalu, tersebar pula khabar angin Dr Hasan menemui mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria - yang menawarkan diri sebagai pengantara - bagi membincangkan perkara itu.
Semuanya bermula apabila Harussani baru-baru ini mendedahkan terdapat pemimpin PAS dan Umno menemuinya bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua yang bermusuh itu.
Bagaimanapun, ekoran pendirian Harussani yang enggan mendedahkan nama pihak terbabit, timbulnya lebih banyak spekulasi, khususnya di laman blog dan antara pemimpin akar umbi PAS sendiri.
Sebuah blog yang tak jemu-jemu membangkitkan isu tersebut - dengan mengaitkannya dengan idea kerajaan perpaduan - Malaysia Waves dengan terang-terang mendakwa pemimpin yang dimaksudkan Harussani itu ialah Dr Hasan.
"Seperti saya kata sebelum ini, ada video yang diambil perjumpaan Harussani dengan Hasan Ali (dan mungkin Khairuddin Othman sekali)," katanya penulisnya Abdul Rahman Talib.
Khairuddin Othman merupakan setiausaha PAS Selangor.
Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai 'Tulang Besi' bagaimanapun berkata beliau bersangka baik dan "kemungkinan Hasan Ali cuma mahu berjumpa untuk mendapat maklumat sahaja".
ADUN PAS akui pertemuan
Pertemuan tersebut dirakam dalam bentuk video dan pemiliknya tidak mahu mendedahkannya kecuali Dr Hasan Ali menafikan sendiri pertemuan itu, tulisnya dalam artikel berjudul 'Harussani jumpa Hasan Ali' semalam.
Tidak jelas butiran lanjut pertemuan tersebut, bagaimanapun difahamkan pertemuan tersebut diadakan di sebuah hotel di Ampang pada penghujung bulan lalu selama kira-kira 20 minit.
Desas-desus berhubung kesahihan pertemuan itu dikuatkan lagi apabila seorang pemimpin PAS Perak Khalil Idham Lim mengakui kewujudan pertemuan itu.
Menurut ketua penerangan PAS negeri itu Khalil Idham Lim, beliau tahu dengan siapa Harussani bertemu, di mana pertemuan itu diadakan - lengkap dengan tarikh dan jam pertemuan.
"Tetapi saya masih tidak berhasrat untuk mendedahkan dengan lebih jelas maklumat yang saya miliki ini," katanya yang juga ADUN Titi Serong.
Menulis dalam blognya pada 18 Julai, Idham bagaimanapun mendakwa pertemuan tersebut sebenarnya bagi tujuan lain - yang tidak dinyatakan.
"Matlamat pertemuan itu saya sahkan bukan untuk membincangkan isu perpaduan antara PAS dengan Umno seperti yang didakwa olehnya (oleh Harussani)," katanya dalam artikel berjudul 'Saya tahu siapa jumpa Harussani'.
Usaha Malaysiakini mendapatkan ulasan Harussani dan Dr Hasan buat masa ini masih belum berhasil.
'Tunggu Dr Hasan dari UK'
Bagaimanapun, Khairuddin ketika dihubungi menafikan perkara itu.
"Saya nafi terlibat (dalam pertemuan itu). Minta siapa yang buat kenyataan tersebut kemukakan bukti. Jangan sewenang-wenangnya menuduh," katanya melalui SMS kepada Malaysiakini.
Manakala ketua penerangannya PAS negeri Roslan Shahir Mohd Shahir pula ketika dihubungi pula memberitahu pihaknya sedia maklum terhadap dakwaan tersebut.
Mengakui sudah mempunyai penjelasannya, beliau bagaimanapun berkata biarlah perkara itu dijawab oleh Dr Hasan sendiri.
"Beliau sekarang berada di United Kingdom. Esok malam insya-Allah beliau pulang," katanya yang juga bekas setiausaha akhbar kepada preden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Sejak 2008, tidak berapa lama setelah Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor, Dr Hasan dilanda pelbagai kontroversi, antaranya berhubung isu penguatkuasaan penjualah arak, hubungannya dengan DAP dan rombakan kontroversi dalam PAS Selangor.
'Kemarahan' Nik Aziz pada Oktober tahun lalu yang mencadangkan PAS mengadakan muktamar khas bagi membincangkan isu "dua tiga kerat pemimpin bermasalah", termasuk Dr Hasan dianggap sebagai cabaran paling getir buatnya.
Posted by RAKYAT MARHAEN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan