KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini mengkritik polis kerana dilihat tidak cukup serius dalam usaha memberkas Raja Petra Kamaruddin.
Katanya, berdasarkan laporan berita di Internet jelas bahawa pengendali laman web Malaysia Today yang 'bersembunyi' di negara itu secara terbuka menghadiri satu majlis pelancaran 'Rakan Pakatan Rakyat' pada Ahad lalu.
Malah katanya, satu kenyataan akhbar turut memberitahu Raja Petra akan menghadiri majlis tersebut dan adalah tidak munasabah jika beliau telah 'bersembunyi' luar negara dan tidak boleh dikesan.
"Beliau kelihatan bebas di London, berkelakuan seolah-olah tidak melakukan sebarang kesalahan malah memberi ucapan di khalayak ramai. Pun begitu, pihak berkuasa masih tidak melakukan apa-apa untuk membawa beliau kembali ke Malaysia.
"Negara kita mempunyai perjanjian penyerahan dengan United Kingdom. Mengapa tiada pihak berkuasa kita minta polis British untuk menahan dan mengekstradisinya kembali ke Malaysia?" katanya pada sidang media di lobi parlimen.
Khairy berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap Raja Petra.
Katanya lagi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebelum ini ingin mengetahui siapa yang melindungi Raja Petra dan lokasi persembunyiannya.
"Saya memperoleh maklumat tentang lokasi dan pergerakan Raja Petra dari Internet, bukan Scotland Yard atau mana-mana sumber rasmi.
"Polis sedar di mana beliau berada atau mereka memilih untuk tidak ambil tahu?"Saya hanya mahu membantu pihak polis dalam kes ini," katanya.Mstar
Posted by TINTA HIJAU DARI KAKI BUKIT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan