August 26, 2010KUALA LUMPUR, 26 Ogos — Polis percaya suspek lelaki yang dipercayai menikam rusuk kiri seorang guru tadika sehingga maut dalam satu cubaan samun di jejantas Sungai Way, Petaling Jaya, dekat sini semalam, masih berada di Lembah Klang.
Ketua Polis Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar berkata usaha memburu suspek tempatan berusia lingkungan 20-an itu sedang giat dilakukan di seluruh kawasan tumpuan bagi memberkas suspek yang dikategorikan sebagai merbahaya itu.
“Kita percaya suspek tidak boleh melarikan diri dengan lebih jauh memandangkan maklumat yang kita perolehi suspek masih berada di sekitar bandar raya ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Media melaporkan seorang guru tadika Leong Lai Yeong, 57, maut akibat ditikam di bahagian rusuk kiri dalam satu cubaan samun di jejantas Sungai Way, Petaling Jaya, pada 7 pagi semalam, sebelum melarikan diri ke arah sebuah stesen minyak berhampiran.
Pemeriksaan forensik menemui sebilah pisau, dipercayai digunakan suspek yang kemudian dibuang di tepi longkang berhampiran kawasan kejadian ini.
Beliau berkata petunjuk polis ketika ini adalah mendapatkan lakaran wajah suspek dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian selain mengesan identiti suspek melalui cap jari yang diperolehi dari pisau itu.
“Rakaman CCTV juga digunakan bagi mendapatkan lakaran dan wajah sebenar suspek,” katanya.
Jika kedua-dua laporan ini diperolehi, lakaran foto fit suspek akan diedarkan bagi mengesannya selain bantuan orang ramai yang mungkin mengetahui lokasi dia berada, katanya lagi. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan