Oleh Boo Su-LynAugust 29, 2010KUALA LUMPUR, 29 Ogos — Perkasa pimpinan Ahli Parlimen Bebas Datuk Ibrahim Ali hari ini memberi tekanan baru ke atas Datuk Seri Najib Razak dengan meminta Perdana Menteri menjelaskan konsepnya 1 Malaysia, yang sesetengah pengkritik menganggapnya sebagai slogan cetek dan tidak membantu meredakan ketegangan kaum.
Ibrahim berkata, konsep 1 Malaysia telah dimanipulasikan oleh sesetengah pihak dengan mendakwa ia merujuk kepada soal kesamarataan antara kaum.
“Kami meminta Perdana Menteri menjelaskan konsep 1 Malaysia,” kata wakil rakyat Pasir Mas ini kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Ibrahim (gambar), Perkasa mahu konsep itu berasaskan pada Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 153 merujuk kepada hak keistimewaan Bumiputera dan membolehkan kerajaan mengadakan kuota di institusi pengajian tinggi, peluang pekerjaan sektor awam dan permit.
Malah, Penasihat DAP Lim Kit Siang juga mempersoalkan keberkesanan konsep 1 Malaysia, yang dibawa Najib sejak dilantik sebagai Perdana Menteri April 2009, ekoran insiden-insiden bersifat perkauman dengan dua pengetua mengeluarkan kenyataan berbaur rasis.
Perkasa mengemukakan gesaan itu ketika negara membuat persediaan untuk menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-53 Selasa ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan