Khamis, 19 Ogos 2010

SNAP ikrar rampas kembali miliknya

by M. Achil Norrlatep dan W.Bolly Ongie

August 18, 2010, Wednesday









Kebing Wan mahu bantu SNAP menangi Telang Usan dan Marudi



MIRI: Jika dilihat dari segi sejarah politik dahulu, konstituensi Telang Usan dan Marudi asalnya adalah milik Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan oleh yang demikian parti itu nekad berjuang habis-habisan untuk merampas kembali, apa yang pernah menjadi milik mereka, demikian menurut presidennya, Edwin Dundang Bugak.





EDWIN DUNDANG(kiri) dan KEBING WAN.



Malah Edwin menyifatkan bahawa kedua-dua kerusi berkenaan adalah ‘diwarisi’ oleh Barisan Nasional (BN) daripada SNAP.



“Ini kerana kedua-dua kerusi kawasan itu dahulunya dimenangi oleh ketiga-tiga tokoh SNAP iaitu mendiang Luhat Wan, mendiang Datuk Joseph Balan dan juga mendiang Datuk Edward Jeli.



“Mendiang Joseph Balan merupakan orang pertama memenangi kerusi Telang Usan melalui tiket SNAP pada 1970 dan berjaya mengulangi kejayaan sama pada 1974 serta 1983,” katanya mengimbau sejarah SNAP dan betapa komitmen SNAP mahu

merampas kembali kedua-dua kerusi tersebut.



Oleh yang demikian mengapa SNAP tidak akan berputus asa untuk merampas kembali kedua-dua kerusi berkenaan pada pilihan raya negeri yang akan datang.



“Di Telang Usan, kita akan meletakkan semula Kebing Wan sebagai calon. Bagi kerusi Marudi pula, kita akan mengenal pasti siapakah calon yang paling sesuai,” kata Edwin kepada Utusan Borneo ketika ditemu bual melalui telefon, semalam.



Bagaimanapun beliau enggan untuk memberikan komennya ke atas kerusikerusi lain kerana menghormati rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat.



Menurut Edwin, walaupun Kebing ditewaskan dalam dua pilihan raya lalu di Telang Usan, namun katanya pada kali ini beliau bertaruh bahawa calon tersebut akan memenangi kerusi itu semula.



Kebing gagal mempertahankan kerusinya yang beliau menangi pada 1996 apabila tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) iaitu Lihan Jok yang bertanding pertama kali pada 2001 dan mengulanginya pada 2006.



Keyakinan terhadap kemenangan adalah berdasarkan sentimen masyarakat Orang Ulu pada masa sekarang yang menurutnya mahukan perubahan dan menyedari akan kepentingan isu-isu menyentuh corak hidup dan masa depan mereka.



Walau bagaimanapun, beliau menyuarakan rasa bimbangnya terhadap politik wang yang menjadi punca kekalahan pilihanraya lepas apabila pengundi-pengundi berubah fikiran.



Edwin mengatakan bahawa rakyat ataupun pengundi harus menghormati diri mereka sendiri sekurang-kurangnya melalui penolakan ke atas politik wang yang menurut beliau amalan yang boleh membunuh demokrasi.



Sementara itu di MARUDI, Kebing Wan memberitahu Utusan Borneo bahawa beliau akan bertanding semula di kerusi Telang Usan dan bersedia untuk menentang sama ada penyandangnya, Lihan Jok daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) atau

mana-mana calon BN lain yang akan bertanding di situ kelak.



Katanya, kekalahannya kepada Lihan dalam pertandingan tiga penjuru merebut kerusi tersebut pada pilihan raya negeri 2006 tidak akan melemahkan semangatnya untuk kembali bertanding menentang Lihan atau calon BN yang lain.



Malah Kebing telahpun membuat persiapan dengan mengadakan pelbagai siri lawatan dan dialog bersama penduduk kampung dan rumah-rumah panjang dalam konstituensi Telang Usan sejak beberapa bulan lepas.



Kebing yang cukup terkenal sebagai seorang ahli politik yang mempunyai budi pekerti amat baik di kalangan penduduk berikrar akan melakukan yang terbaik malah yakin untuk merampas kembali Telang Usan berdasarkan sokongan penduduk di peringkat akar umbi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan