Selasa, 21 September 2010

1 Malaysia Tidak Relevan Selagi Umno Sokong Perkasa Kata Guan Eng


by TVSelangor2009 on Tuesday, September 21, 2010 at 2:49pm
KUALA LUMPUR 21 SEPT: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendakwa usaha pentadbiran Perdana Menteri, Najib Razak mempromosi 1 Malaysia tidak relevan selagi Umno dan Barisan Nasional terus menyokong Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Menurut Guan Eng, tindakan pimpinan tertinggi Umno yang menyatakan mahu bekerjasama dengan Perkasa dan NGO Melayu untuk memartabatkan hak Melayu dan Bumiputera, "mengukuhkan peranan Umno menyokong Perkasa."

" Kenyataan oleh Presiden Pertubuhan Mantan Wakil Rakyat Umno  yang Dipilih UMNO, Tan Sri Adam Kadir menggesa UMNO untuk terus memberikan kerjasama dengan Perkasa dan semua NGO Melayu bagi memartabatkan hak Melayu dan Bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"1Malaysia dan semangat kemuafakatan BN tidak relevan selagi Umno menyokong penuh Perkasa yang lebih menjurus ke arah perkauman," ulas beliau.

Semalam Penawar menyeru Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk meminta maaf selepas Setiausaha Agung Umno itu mengkritik Perkasa sebagai golongan rasis serta mendesak Umno untuk memecat Tengku Adnan jika beliau enggan meminta maaf.

Guan Eng pada hari ini mengecam Perkasa kerana menterjemah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai kumpulan yang membela hak Melayu dengan menyokong kenyataan bersifat perkauman yang tidak pernah dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Bagaimana Perkasa mendakwa tidak rasis dan hanya berjuang untuk mendukung Perkara 153 daripada Perlembagaan Persekutuan apabila mereka menyokong kenyataan-kenyataan bersifat perkauman seperti Cina patut balik ke China dan wanita mereka menjual badan manakala orang India adalah pengemis dan anjing.

"Saya telah memeriksa dan menyemak semula Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan tidak ada dinyatakan dalam Perkara 153 memberi hak istimewa mana pihak yang boleh menggambarkan wanita Cina menjual badan mereka dan patut balik ke China, orang India sebagai pengemis atau anjing,” ujar Guan Eng.

Pemimpin Umno termasuk Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed and Ketua Umno Khairy Jamaluddin bertegas parti itu tidak akan tunduk kepada tuntutan Perkasa.

Namun pemimpin lain seperti Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Datuk Mohamed Aziz berkata Umno tidak perlu menjauhkan diri dari Perkasa kerana ia hanya pandangan peribadi serta tidak mencerminkan pendirian parti itu.

“Jelas semua parti komponen BN seperti MCA hanya “bersandiwara” menentang Perkasa tetapi apabila di dalam mesyuarat, mereka berdiam diri dan pro-Perkasa. Parti komponen BN harus menjelaskan mengapa mereka berdiam diri di dalam mesyuarat dan tidak berani menentang Perkasa, sebaliknya hanya bercakap besar di luar,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan