Rabu, 15 September 2010

36 orang selamat nahas pesawat



BEBERAPA pegawai penyelamat memeriksa bangkai pesawat yang putus dua kira-kira 10 kilometer dari Puerto Ordaz, Venezuela kelmarin.


CARACAS – Seramai 36 orang terselamat dalam nahas kapal terbang yang terhempas dan putus dua di timur Venezuela tetapi 15 yang lain terbunuh kelmarin.
Sebelum kejadian, juruterbang pesawat itu memaklumkan pihak kawalan trafik udara bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena sebelum nahas berlaku.
Semasa kejadian, pesawat tersebut membawa 47 penumpang dan empat krew dari Pulau Margarita.
Pesawat itu terhempas sebelum putus dua dan terbakar dekat sebuah kilang besi di Puerto Ordas, di negeri Bolivar.
“Jika dilihat keadaan pesawat tersebut, saya rasa kita sangat bertuah (kerana ada yang terselamat),” kata Menteri Komunikasi dan Pengangkutan, Francisco Garces.
Kebanyakan mangsa yang terselamat melecur dan trauma dengan kejadian tersebut. Bagaimanapun, tidak ada yang cedera parah.
Pesawat Penerbangan Conviasa ATR-42-300 itu terhempas kira-kira 10 kilometer dari Puerto Ordaz di Sungai Orinoco.
Punca nahas masih disiasat.
Menurut beberapa pegawai, tindak balas pantas daripada perkhidmatan kecemasan selepas juruterbang memberi amaran bahawa penerbangan tersebut mengalami masalah telah berjaya mengurangkan jumlah kematian.
Gabenor Bolivar, Francisco Rangel Gomez berkata, juruterbang pesawat itu mungkin kehilangan kawalan semasa mengendalikan pesawat menyebabkan dia menghubungi pihak menara kawalan bahawa penerbangan tersebut mengalami masalah teknikal. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan