Sabtu, 18 September 2010

Akhbar tipu imej Presiden Mesir



GAMBAR yang disiarkan akhbar Al-Ahram menunjukkan Hosni Mubarak berada di depan barisan beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di White House pada Selasa lepas.


KAHERAH - Sebuah akhbar pemerintah Mesir, Al-Ahram dikecam kerana mengubah sekeping gambar supaya Presiden Mesir, Hosni Mubarak dilihat berada di barisan depan pemimpin yang menyertai rundingan damai konflik Israel-Palestin di White House, lapor sebuah akhbar semalam.
Gambar tersebut yang disiarkan di muka surat enam Al-Ahram edisi Selasa lepas diubahsuai dengan menggunakan perisian komputer.
Akhbar berkenaan dipercayai menggunakan teknik potong dan lekat' pada gambar yang menunjukkan beberapa pemimpin dunia berada di White House.
Gambar itu menunjukkan Hosni berada di hadapan barisan pemimpin berkenaan dan beliau kelihatan seperti mengetuai rundingan damai Palestin-Israel.

GAMBAR asli yang menunjukkan Hosni Mubarak berada di barisan paling belakang (kiri) manakala Barack Obama mengetuai para pemimpin dunia lain di White House, Washington pada Selasa lalu.


Pada Rabu lepas, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama bertemu dengan beberapa pemimpin Asia Barat iaitu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pemerintah Jordan, Raja Abdullah II, Presiden Palestin Mahmoud Abbas dan Presiden Mesir, Hosni Mubarak di Washington bagi memulakan pusingan rundingan damai.
Selepas rundingan selesai, jurugambar-jurugambar merakamkan imej kumpulan tersebut dengan Obama berada di hadapan dan Hosni di belakang bersama pemimpin-pemimpin yang lain.
Sebuah akhbar Mesir, Al-Masry al-Youm melaporkan bahawa Al-Ahram telah melakukan 'pembedahan' supaya Hosni kelihatan memimpin barisan pemimpin dunia.
Namun, menurut agensi berita AP semalam, Ketua Pengarang Al-Ahram, Osama Saraya membidas kritikan terhadap gambar berkenaan.
Osama menyatakan dalam satu ruangan rencana pengarang semalam menyatakan, gambar tersebut bertujuan untuk menggambarkan Mesir mengetuai rundingan damai Asia Barat. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan