Isnin, 20 September 2010

Antara jenaka dan spiritual M.Rajoli



ALLAHYARHAM M.RAJOLI sewaktu hayatnya tidak jemu menjalani pelbagai rawatan dalam usaha melawan penyakit yang dihidapi.


SETIAP insan yang hidup di muka bumi ini tidak akan terlepas daripada kematian termasuklah mereka yang bergelar artis. Apa yang membezakan setiap orang itu adalah cara mereka dijemput Tuhan.
Jumaat lalu, bersamaan dengan Syawal kelapan, seorang lagi insan yang bergelar seniman, M. Rajoli telah dijemput Ilahi selepas berperang derita limfoma sejak November 2007. Bagaimanapun, pelakon yang cukup terkenal dengan karakter warak dan lucu ini disahkan meninggal dunia di Hospital Ampang, Selangor pada pukul 10.45 malam kerana mengalami masalah tekanan darah rendah dan masalah jantung.
Perginya pemilik nama sebenar Mohd. Rajoli Mohd. Zin pada usia 65 tahun itu telah meninggalkan dua orang balu, Hashimah Mohd. Din dan Wan Chik Daud serta empat orang anak hasil perkongsian hidup bersama Hashimah iaitu Siti Zaleha, 34, Nur Muhammad, 33, Siti Nazirah, 27, dan Mohd. Ariff, 23, bersama tujuh cucu.

ISTERI kedua M.Rajoli, Wan Chik Othman memberi kucupan kepada suaminya selepas diangkat sebagai Aktor Pembantu Drama Terbaik dalam Anugerah Skrin ke-9 pada tahun 2007. Beliau membawa pulang trofi tersebut menerusi lakonannya dalam drama Tanah Kubur yang merupakan anugerah terakhir dalam kariernya.


Menurut pengarah lakonan sitkom komedi Salam Pantai Timur, Sabri Yunus, M. Rajoli sememangnya terkenal di kalangan rakan artis sebagai seorang yang suka berjenaka untuk menghiburkan semua orang.
Katanya, apa yang istimewa tentang seorang insan bernama M.Rajoli ialah dia mempunyai latar belakang yang kukuh.
“Memang M.Rajoli sudah masuk ke dalam industri seni sejak era 60-an tetapi dia aktif sepenuhnya sejak ketika umurnya sudah matang. Di situ saya nampak dia sudah kukuh latar belakangnya dengan pengalaman kehidupan sebelum melalui liku-liku kehidupan sebagai artis.
“Kalau kita tengok, apa yang arwah buat menunjukkan yang peribadinya sudah kukuh,” katanya kepada Kosmo!.
Tambahnya, pengalaman sepanjang empat tahun berkerja dengan M.Rajoli dalam Salam Pantai Timur, dia boleh melihat sisi sebenar lelaki itu di luar kepompong sebagai seorang artis.
“Seingat saya boleh dikatakan sebelum setiap rakaman sitkom itu M.Rajoli akan membacakan doa. Perkara itu sudah menjadi satu tradisi sepanjang rakaman itu berlangsung.
“Semua pelakon pun memberikan kerjasama dan adakalanya bila arwah terlupa pelakon-pelakon lain akan mengingatkan,” ujarnya.
Jelasnya lagi, secara peribadi dia merasakan pemergian M.Rajoli yang lahir pada 7 April 1945 di Pasir Mas, Kelantan umpama kehilangan seorang insan yang sering dijadikan rujukan berkaitan hal agama.

SABRI YUNUS


“Kami tahu kepakaran dia dalam pengajian al-Quran dan biasanya jika bertanya hal agama, arwah akan membaca ayat al-Quran berkaitan bersama terjemahannya sekali.
“Selain bakat lakonannya yang besar dalam bidang seni, pengetahuannya yang luas dalam agama menjadi suatu keistimewaan buat M.Rajoli,” katanya tentang sikap pelakon itu yang kini hanya tinggal dalam kenangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan