Rabu, 15 September 2010

Bahasa Melayu bukan penghalang kemajuan


September 15, 2010
BESUT, 15 Sept —  Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan tidak menghalang kemajuan, malah penggunaannya sebagai bahasa ilmu lebih 30 tahun lalu membawa banyak kejayaan kepada negara, kata Penyandang Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), Professor Emeritus Awang Sariyan.
“Tidak mustahil dengan ilmu yang diperolehi daripada sumber bahasa Melayu, Malaysia satu hari nanti akan mampu mengatasi negara-negara lain termasuk Singapura dalam beberapa hal termasuk ekonomi,” katanya menerusi kiriman emel kepada Bernama hari ini.
Beliau mengulas kritikan mantan perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew dalam temu bual di New York Times baru-baru ini, kononnya bahasa Melayu sebagai bahasa sekolah, tidak boleh membantu dalam memperolehi pengetahuan moden.
Ini, kata Lee, dapat dilihat pada Melayu di Singapura ‘‘yang moden serta berpandangan jauh’’ kerana berpendidikan Inggeris.
Awang berkata, bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain juga tidak pernah diabaikan malah turut dikuasai rakyat Malaysia sebagai nilai tambah kepada penguasaan ilmu mereka.
Mengulas lanjut Awang berkata, Lee sepatutnya membaca ulasan bekas perdana menteri sesudahnya, Goh Chok Tong, yang pernah melahirkan kekesalannya akan keadaan generasi muda Cina Singapura yang menurutnya “hanya Cina pada biologisnya tetapi sudah kehilangan Cina pada bahasa dan budayanya”.
Mengenai dakwaan Lee tentang “hegemoni Melayu rakyat Malaysia”, Awang dengan ringkas berkata, “memaku dulang paku yang serpih”.
Awang berkata Lee tidak akan pernah senang dengan Malaysia kerana sejarah hitam hubungan peribadinya dengan pemimpin-pemimpin Malaysia sebelum ini menyebabkan beliau gemar mengeluarkan kenyataan-kenyataan kontroversi. — Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan