Ahad, 12 September 2010

Beraya hanya seadanya!





MENDENGAR takbir raya yang bergema memenuhi alam, hati terdetik tanda kesyukuran terhadap nikmat kebesaran Ilahi. Bulan menunai ibadah telah selesai dilalui maka kedatangan Syawal yang baru menebarkan wangian hari ketiga ini, masih terlalu manis untuk dipersiakan.
Inilah Hari Raya Aidilfitri yang menjadi hari kebesaran, tanda kasih Ilahi terhadap hamba-hambanya yang selesai menjalani 'perang', perang puasa dan berpantang nafsu.
Cuma jangan dilupa, sebagai mana kita taat kepada-Nya ketika berpuasa, seperti itulah hendaklah lebaran ini ditebarkan memenuhi hari. Tuhan cintakan umatnya yang bersederhana.
Memaniskan pengamatan, empat hati berbeza dimensi dipilih melatari persembahan. Bersulam latar hidup berbeza, Azmil Mustapha, Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan, Lisa Surihani dan Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain kami telusuri hidup dan tradisi raya mereka.
Pertama kali kolaborasi diatur, pemilik nama-nama besar itu jauh sekali berbelah rasa.
Tugasan Nurul Syuhada
Berumahkan lokasi dan berjuadahkan penonton di hening subuh hari raya adalah perkara biasa bagi seorang personaliti TV. Tahun ini, raya seorang Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zin disambut di lokasi Malaysia Hari Ini (MHI).
Ujarnya usai segala tanggungjawab sebagai pengacara barulah dia menyarungkan tugasan sebagai anak, cucu dan saudara dalam suasana lebaran.
Senyumnya dengan lesung pipit di pipi, kesempatan raya diafdalkan dengan melawat keluarga di Rembau dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Menyentuh konsep sederhana dalam menyambut lebaran, gadis 26 tahun yang sudah berjalan ke pelusuk dunia ini mengaku keterujaan raya dulu dan kini ada bezanya. Jika dulu seronok mendapat baju raya, kini dia lebih melihat persediaan lebaran sebagai satu tanggungjawab.
"Beli baju, kuih dan perkara yang berkaitan dengan raya sudah jadi tanggungan saya. Yang penting saya sediakan persiapan mak dan ayah dahulu," ujarnya yang lebih gemar membikin 'kuih tunjuk'.
Malah, kain-kain baju raya sebenarnya sudah dibeli awal iaitu ketika dia melawat negara-negara Asia Tenggara untuk dijadikan busana raya.
Ujar pengacara Majalah Tiga itu nilai kesederhanaan boleh dipupuk dengan merenung kehidupan insan lain yang meniti jambatan lebih sukar.
Sekali gus pengalaman Nurul terbang ke sana ke mari membawa nama Malaysia dan tugasan seorang wartawan, lensa matanya telah menatap 1,001 kehidupan, baik yang hitam, kelabu mahupun putih salju.
"Contohnya pada bulan puasa lalu, saya menyiapkan kisah Santosh yang tidak berumah dan menginap di jalanan Masjid Jamek. Saya juga teringat pengalaman di Gaza.
"Di sana, perasaan takut dan teruja bercampur-campur demi mendapatkan bahan berita," ujarnya yang sudah banyak menyimpan kaca dan permata dalam komputer mindanya.
"Setakat ini, pengalaman menyeronokkan hadir ketika saya membuat liputan Upin dan Ipin di Jakarta. Produk Malaysia itu menjadi fenomena dan mencapai rating nombor satu di Indonesia," kenangnya.
Azmil beraya di Malaysia

DUA selebriti ulung ini punya aura tersendiri. Lahiriahnya sahaja cukup untuk memberikan gambaran tentang siapa dan ke mana hala tuju karier mereka.


Bapa tunggal kepada lima orang anak Shamira, 23, Nurazalea Arifah, 19, Nor Amalia Batrisya, 17, Mohd. Bazli Zhafri, 15, Nur Alia Iman, 9, dan datuk kepada seorang cucu, Alexandria Carina, 14 bulan ini sama sekali tidak seperti yang kami bayangkan.
Awalnya bermula dengan rasa takut untuk mendekatinya tetapi kemudian bualan mesra dan ramahnya membuatkan persepsi awal lenyap begitu sahaja.
Nurul Syuhada dan Lisa sendiri berani mengusik-usik bekas aktor yang kami gelarkan Haji itu dengan lakonan ala 'bermadu'.
"Kalau di Syria ada rumput sebegini sudah kira bagus," ujarnya merujuk rumput dan pohon rendang di rumah kediaman Pak Engku seraya mencadangkan beberapa pos yang perlu dilakukan.
"Selepas tiga bulan balik ke Kuala Lumpur, pada raya ketiga kami sekeluarga pulang ke Syria. Sempatlah saya melunaskan tugasan sebagai penceramah di sini.
"Ogos lalu, saya sempat ke Tasik Kenyir Lake Resort selama tujuh hari," ujarnya yang kini menuntut di Institut Syeikh Ahmad Kitanis, Damsyik, Syria.
Tidak terhad di Malaysia, Azmil yang pernah muncul sebagai pelakon iklan Code 10 ini turut memberi ceramah sehingga ke Brunei, Indonesia dan Singapura.
"Berbekalkan duit hasil ceramah dan motivasi Islam sebelum itu di Malaysia, saya terbang ke Syria bertemankan anak-anak. Saya belajar bahasa Arab di Maahad Taalim Lughatal Arabiah Lil Ajnabi (Institut Pengajian Bahasa Arab Bagi Orang Asing).
"Saya juga belajar al-Quran, tajwid dan tasmi' dengan syeikh-syeikh termasuklah pelajar Malaysia di Syria," ujarnya yang diberi tempat tinggal percuma oleh seorang syeikh di sebuah apartmen di pinggir Damsyik.
Seakan memegang pepatah, mencari ilmu biarlah sampai ke negeri China, itu adalah hijrah kedua Azmil untuk memenuhkan dada dengan ilmu.
Sebelum itu, Azmil pernah menuntut di Universiti Indianna, Bloomington, Amerika Syarikat selama lima tahun dan pulang dengan ijazah sarjana muda dalam bidang filem, radio dan televisyen.
Tersurat atau tersirat, daripada perwatakannya, Azmil jujur dengan dirinya tanpa secalit riak meninggi diri.
Azmil Mustapha, aktor yang pernah menjadi idola ramai ketika zaman mudanya semasa membintangi filem Ali Setan kini tenang berdepan jalur hidup berbeza fokus.
"Ajaib sungguh kuasa Allah. Saya amat bersyukur kerana Allah menyedarkan saya sebelum terlewat usia.
"Walaupun sedar ketika 'penghijrahan' ini, dunia seni masih menjanjikan yang indah-indah untuk saya tetapi saya tidak menyesal," ujar lelaki 58 tahun ini yang lebih senang menaiki teksi ke setiap destinasi yang ditujuinya.
Imam selebriti status berat
Jauh daripada cita-citanya untuk menjadi selebriti agama. Dalam usia 26 tahun, dia sedang meneruskan siri kedua kehidupan selepas tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Fikah, dari Univeristi Malaya (UM), Kuala Lumpur.

NAMA pun selebriti, letak sahaja mereka di meja yang sama, keramahan dan kemesraan mengalir tanpa tersekat.


Bekas Imam masjid di Desa Petaling, Selangor itu tiba-tiba disuluh hatinya untuk menyertai Imam Muda tanpa jangkaan dia bakal dijulang sebagai juara program realiti itu.
Percaturan hidup Asyraf mula diisi banyak agenda, masih dalam konsep dakwah dan menjadi suara kebesaran Ilahi, hidupnya mula dilihat dari perspektif berbeza.
Daripada imam biasa kepada imam berstatus selebriti, Asyraf menerima peralihan itu sebagai siri hidup yang akan berterusan.
"Jika 10 tahun lagi saya sudah tidak dikenali, kerja ini tetap akan saya ladeni. Bagi saya, status selebriti itu biasa sahaja tetapi status selebriti agama itu yang lebih berat.
"Saya tidak boleh meniru orang sebaliknya kena menjadi diri sendiri. Dalam masa yang sama kena pandai membawa diri.
"Kena tahu membezakan bahasa bila bercakap dengan orang tua, remaja atau kanak-kanak," ujarnya lebar dengan senyuman.
Di sisinya, seorang wanita muda tunduk tersipu. Itulah tunjang kekuatan Asyraf, Nurhusna Yusof, 23, yang masih menuntut di UM.
Belum memutuskan tarikh menebus hadiah biasiswa pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Asyraf masih berbaki kontrak selama dua bulan bersama Astro.
"Sepanjang terikat kontrak saya mengikuti semua program Astro khususnya Oasis. Ramadan tahun ini menjadi Ramadan paling sibuk buat saya, pertama kali didatangi undangan yang silih berganti hari.
"Sambutan hari raya pula serba sederhana, yang berbezanya adalah jumlah kunjungan tetamu," katanya yang beraya di Pulau Pinang bersama isteri dan keluarga.
Beza yang paling ketara, ini tahun pertama Asyraf beraya sebagai suami, satu fasa selangkah ke hadapan untuk mendiri sebagai pemimpin sebenar.
Lisa Surihani tanpa bapa
Tiga hingga empat hari pertama Syawal menjadi masa Lisa Surihani menjejak mengenal sanak saudara yang jarang bersua.
Tiada agenda rumah terbuka melainkan menyediakan juadah jika ada tamu yang datang. Dia juga menziarah sanak saudara yang kebanyakannya tinggal di Kuala Lumpur. Itu situasi Aidilfitri yang menjadi tradisi keluarga Lisa.
Namun, takdir insan tidak mampu melawan suratan Ilahi. Pemergian ayah tercinta pada tahun 2008 menjadikan raya Lisa kurang berseri.
Sehari sebelum 1 Syawal menjelang, pusara menjadi tempat menumpahkan doa.
"Manisnya raya tahun ini tetap dirasai, cuma selepas kehilangan ayah, raya tidak selengkap dahulu.
"Saya rindukan suasana raya ketika arwah masih ada," getus si manis 26 tahun itu tanpa resah.
Memintas emosi yang memeluk jiwa, Lisa tidak mahu mengklasifikasikan raya sebagai selebriti, anak atau adik dalam keluarga.
Apa yang pasti katanya, raya adalah hari kebesaran yang harus diraikan bersama keluarga.
Baru selesai menjalani penggambaran filem Ombak Rindu, garapan terbaru pengarah berkaliber Osman Ali, bingkis Aktres Harapan Festival Filem Malaysia ke-21 itu juga, sambutan Aidifiltri haruslah diukur dengan kemampuan diri.
"Mencantikkan kediaman, membeli pakaian baru dan menyediakan juadah hari raya itu sesuatu yang dituntut asalkan tidak keterlaluan sehingga memudaratkan diri, maksudnya membazir atau di luar kemampuan kewangan.
"Untuk saya, cukuplah dengan beberapa pasang baju, itu biasa sebab selepas raya sahaja ada banyak undangan ke acara rumah terbuka.
"Tahun ini sambutan kami sekeluarga juga biasa-biasa sahaja, tiada langsir atau perabot baru," katanya yang meraikan hari raya bersama ibu serta abang-abang kandung dan kakak ipar termasuk seorang anak saudara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan