Rabu, 8 September 2010

Bilangan laman web digodam meningkat


September 08, 2010
KUALA LUMPUR, 8 Sept — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesan peningkatan ketara dalam jumlah laman web dalam negara yang digodam bulan ini, dan sedang bekerjasama dengan pemilik-pemilik laman web berkenaan untuk memulihkannya.
Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat SKMM Zeti Marziana Muhamed berkata bilangan laman web yang digodam meningkat kepada 262 kes minggu pertama bulan ini berbanding 168 kes bulan lepas.
“SKMM ingin mengingatkan semua pemilik laman web untuk meningkatkan ciri-ciri keselamatan dan mengemaskini pelayan serta aplikasi-aplikasi yang berkaitan pada laman web itu.
“Ia bertujuan untuk mengurangkan risiko penggodaman sekiranya terdapat kelemahan pada ciri-ciri keselmatan laman web,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya pemilik laman web juga disaran mengambil langkah-langkah yang mencukupi supaya keselamatan web mereka terjamin dan diberi perhatian sewajarnya semasa cuti perayaan.
Zeti berkata kebanyakan laman web tidak dipantau ketika hari raya dan serangan penggodam itu meningkat sewaktu musim raya tahun lepas.
Beliau seterusnya meminta pemilik laman web supaya menghubungi SKMM di talian 03-8688 8303 sekiranya mereka mengesan sebarang kegiatan penggodaman di laman web mereka.
Katanya maklumat lanjut boleh didapati dengan merujuk kepada panduan SKMM di http:/www.skmm.gov.my/cybersecurity.
Zeti berkata pihaknya akan terus memantau situasi itu melalui Pusat Keselamatan Rangkaian SKMM.
Beliau berkata ia merupakan sebuah pusat pemantauan keselamatan siber yang diwujudkan oleh SKMM selaras dengan Dasar Keselamatan Siber Kebangsaan dan 10 Objektif Dasar Kebangsaan yang termaktub di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998(AKM 1998).
Katanya pusat itu bertindak dalam memberikan amaran pencegahan awal kepada semua pihak yang berkaitan dalam negara. — Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan