Kasino di Sabah? Malaysian Insider perlu disiasat.
Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini berkata spekulasi bahawa kerajaan telah membenarkan pembinaan kasino di negeri ini merupakan satu pembohongan dan
tuduhan yang melulu.
Abdul Rahman berkata laporan yang dikeluarkan oleh sebuah organisasi media portal itu adalah berdasarkan spekulasi dan berbahaya kerana turut memanipulasi turun naik saham sesebuah syarikat.
"Itu adalah satu pembohongan dan tuduhan yang melulu sebab saya berada di sana (sewaktu penerangan kerajaan pada hari terbuka Program Transformasi Ekonomi) ... Dalam penerangan yang terperinci tu, tidak pernah pun disebut tentang penubuhan kasino di Sabah. Tiada sepatah perkataanpun disebut.
"Saya merasa hairan kenapa The Malaysian Insider membuat laporan bahawa mungkin kasino akan dibuat di Sabah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis rumah terbuka Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk
Hajiji Mohd Noor di sini, hari ini.
Abdul Rahman dengan itu menggesa supaya siasatan dijalankan ke atas
organisasi media tersebut untuk melihat sama ada terdapat unsur-unsur memanipulasi saham.
"Ini sangat berbahaya, ia seperti satu kes manipulasi saham. Sebab apabila
cerita kasino yang dibuat ini dikeluarkan, saham Karambunai Corp Bhd naik. Jadi kita mahu The Malaysian Insider disiasat.
"Kita minta supaya Suruhanjaya Sekuriti siasat bagaimana sebuah portal yang dianggap sebagai berpengaruh di negara kita boleh membuat satu spekulasi yang
begitu besar yang menyebabkan harga saham sebuah syarikat di Bursa Saham melonjak naik.
"Kalau didapati mengeluarkan kenyataan sebegitu yang boleh mempengaruhi perjalanan Bursa Saham dalam satu keadaan yang mana maklumat tidak sahih yang
tidak dapat dikesan, maka Suruhanjaya Sekuriti perlu mengambil tindakan," tegas
beliau.
Ditanya sama ada isu kasino itu memang pernah dibincangkan oleh kerajaan, Abdul Rahman berkata adalah menjadi kebiasaan mana-mana isu, perkara atau permohonan yang dibuat oleh mana-mana pihak akan dibawa dalam perbincangan.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak tahu mengenai sebarang permohonan sedemikian buat masa ini.
Saham Karambunai Corp melonjak naik selepas media portal itu melaporkan cadangan resort bersepadu di Karambunai, dekat sini mungkin melibatkan sebuah kasino.
Karambunai Corp telah membuat kenyataan di Bursa Malaysia semalam, menafikan pernah menghantar cadangan rasmi kepada kerajaan Malaysia mahupun menulis
dokumen bertulis dengan mana-mana pihak ketiga lain berkaitan dengan rancangan untuk membina kasino di Karambunai.
Karambunai Corp merupakan antara peserta utama pelancongan di Sabah dan pengurus besar Nexus Karambunai Hotel telah dijemput sebagai anggota Makmal Pelancongan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), bersama dengan
anggota sektor swasta dan awam lain, untuk membantu usaha kerajaan mengenal pasti potensi pelancongan pertumbuhan tinggi bagi menggerakkan negara ke arah
mencapai Wawasan 2020.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan