Rabu, 22 September 2010

MB Selangor: Keputusan tanding timbalan presiden selepas 3 Okt


September 22, 2010
SHAH ALAM, 22 Sept – Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata keputusan sama ada beliau akan bertanding atau tidak jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan dibuat selepas 3 Oktober ini, iaitu setelah semua cabang parti itu selesai bermesyuarat.
“Saya belum tahu lagi, pencalonan mesti sekurang-kurangnya dua. Saya akan umumkan nanti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di sini hari ini.
Abdul Khalid yang setakat ini menerima satu pencalonan bagi jawatan tersebut ditanya sama ada akan turut berentap bersama Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim yang telah mengumumkan hasrat masing-masing untuk merebut kerusi nombor dua parti, pada pemilihan yang dijadual November ini.
Azmin yang juga Naib Presiden PKR kini memperolehi 43 pencalonan, manakala Zaid yang merupakan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan menerima 21 pencalonan.
Turut dicalonkan untuk jawatan tersebut ialah seorang lagi Naib Presiden parti Mustafa Kamil Ayub dengan 10 pencalonan, Pengarah Strategik parti Tian Chua (dua pencalonan) dan  Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh yang mendapat satu pencalonan.
Pihak pengurusan parti itu menetapkan 10 Oktober ini sebagai tarikh akhir untuk mereka yang bakal bertanding menerima pencalonan daripada setiap cabang. – Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan