Selasa, 21 September 2010

Permintaan iPhone 4 terjejas dengan isu atenuasi antena


21/09/2010 5:39pm

KUALA LUMPUR - Permintaan bagi iPhone 4(IP4) mungkin terjejas dengan isu atenuasi antena yang mempengaruhi kekuatan isyarat.

OSK Investment Research dalam nota penyelidikannya mengenai sektor
telekomunikasi memetik tinjauan yang dijalankan oleh pihak pengguna bebas di Amerika Syarikat (AS) yang berkata, 20 peratus bakal pembeli IP4 memetik isu antena sebagai alasan utama mempengaruhi keputusan pembelian mereka.

Menurut firma penyeldikan berkenaan, penjualan IP4 boleh terjejas oleh telefon pintar Android yang semakin popular yang mengatasi jualan iPhone di AS pada suku pertama 2010.

"Berdasarkan kepada tinjauan kami, jualan Android semakin mendapat momentum dengan promosi dan pengenalan model baru sejak beberapa bulan lepas," katanya.

Baru-baru ini Maxis melancarkan model terkini berasaskan Android HTC Wildfire dan Sony Ericsson Xperia X10, yang dijual antara RM549 dan RM799.
Ini menurut OSK Investment Research, agak lebih mampu dimiliki berbanding IP4 yang dijangka muncul di Malaysia menjelang akhir minggu ini.

"Walaupun iPad tidak dilancarkan secara rasmi dalam negara, kami percaya telah terdapat asas kecil pengguna yang semakin berkembang yang telah membelinya dari luar negara," katanya.

Dari segi pilihan sektor, OSK Investment Research memilih Axiata, yang merupakan satu-satunya syarikat telekomunikasi dalam negara yang menawarkan pertumbuhan serantau dengan dividen sulung dijangka pada tahun kewangan 2011.
"Walaupun anak syarikat mobile Axiata, Celcom Axiata, tidak menawarkan
iPhone, ia menyaksikan pertumbuhan kukuh dalam jualan Blackberry dan pelan jalur lebar mudah alihnya," kata OSK Investment Research. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan