Jumaat, 17 September 2010

PKR: Saya tetap akan menang satu hari nanti, kata Zaid


TERKINI @ 12:21:48 PM 17-09-2010
September 17, 2010
KUALA LUMPUR, 17 Sept — Datuk Zaid Ibrahim tidak kisah dengan sokongan kepada Azmin Ali, yang dikatakan semakin berkembang bagi merebut kerusi timbalan presiden PKR sambil menegaskan, jika beliau gagal kali ini masih yakin untuk menang pada pusingan akan datang. Anggota Majlis Tertinggi Pusat PKR ini yang menyertai PKR tahun lalu berkata, kalah sekali tidak bermakna “akan kalah terus.:
“Tiada masalah. Saya akan cuba lagi... saya masih muda, baru menghampiri 60 tahun,” kata beliau kepada The Malaysian Insider baru-baru ini.
Kelihatan relaks, Zaid yang juga Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan memberitahu beliau tidak kisah jika turun gelanggang November ini tanpa iringan sokongan moral sebagaimana dinikmati Azmin, yang merupakan Naib Presiden dan Pengerusi PKR Selangor.
Justeru itu kata Zaid, beliau masih yakin akan menang satu hari nanti.
Azmin bari-baru ini menerima sokongan daripada 20 ahli Parlimen dan majoriti ADUN Selangor dan Negeri Sembilan.
“Saya akan menang. Saya pasti dengan itu. Jika saya tidak mendapat sokongan sekarang atau jika pun bukan esok, tahun depan atau tahun berikutnya. Anda tidak tahu...,” kata Zaid.
Semalam, Azmin mengumumkan pendiriannya akan bersaing kerusi timbalan presiden yang kini kosong ekoran keputusan Senator Dr Syed Husin Ali tidak mahu mempertahankan jawatannya.
Pengumuman Azmin itu dibuat di Kota Kinabalu.

Bekas anggota Kabinet persekutuan ini yakin jika kesemua ahli PKR menyedari visi dan matlamat bagi parti, mereka sudah pasti akan memberikan sokongan seratus peratus kepadanya.
“Jika anda mengetahui saya, bukan setakat secara peribadi semata-mata, tetapi jika memahami saya secara mendalam tentang apa yang saya mahu lakukan, maka ya (mereka akan menyokong), mengapa tidak?” kata Zaid.
“Malangnya, budaya kita tidak menggalakkan perbincangan ilmiah atau debat. Sebaliknya, kita dilabel dan orang melabel anda dan anda hidup bersama label itu,” kata beliau sambil menambah, orang ramai mengambil masa untuk melihat perkara yang anda tawarkan kepada mereka.
Zaid menekankan bahawa jenama politik beliau sangat jelas dan berorientasikan visi, malah beliau seorang pemimpin “ikhlas” yang tidak percaya pada soal sering berubah pendirian dan dasar.
“Saya sudah lama dalam politik. Saya pernah menjadi menteri dan saya tidak ada cita-cita untuk menjadi seseorang (pada masa depan), perdana menteri atau sebagainya nanti,” kata beliau.
Zaid berkata beliau hanya mahu menjadi katalis yang boleh membantu negara menjadi tempat yang lebih baik dari segi dasar.
“... sebab itu saya meninggalkan kerajaan. Saya sangat jelas dengan apa yang mahu saya lakukan,” kata beliau.
Zaid berkata beliau percaya boleh memperbaiki elemen inklusif dengan menyatukan puak-puak dalam PKR.
“Saya tidak suka kelompok atau puak-puak (dalam parti),” kata beliau.
Malah Zaid juga berkata, beliau juga tidak mempunyai pemimpin-pemimpin yang disukai atau mereka yang menjadi keutamaannya.
“Saya tiada sikap sedemikian dalam diri saya,” katanya.
“Saya melihat pada nilai seseorang... atas sumbangan mereka lakukan dan itu caranya saya menilai mereka.
“Saya sedikit berfikiran terbuka dalam cara saya melihat orang dan sebagai pembawa reformasi parti, kami memerlukan idea-idea yang baru, orang baru, keupayaan untuk menuai kekuatan orang dan saya merasakan saya boleh memainkan peranan itu,” kata Zaid lagi.
Zaid juga membidas tanggapan sesetengah pihak dalam parti bahawa beliau mempunyai agenda untuk mengambil alih dan menguasai parti seorang diri.
“Mengapa mereka menganggap bahawa saya ini seorang yang bahaya? Anda tahu apa yang mereka mengatakan tentang saya... bahawa kononnya ada musuh dalam parti.
“Jika anda mengadakan ada musuh, mengapa tidak anda menghalang saya daripada masuk (ke dalam PKR) awal-awal lagi? Jadi, (rasa) janggal melihat orang-orang macam ini berkata begini... hanya kerana anda menawarkan diri untuk bertanding,” kata beliau.
Zaid menjelaskan, apabila memutuskan untuk menawarkan dirinya bertanding beliau hanya berniat bagi menyediakan ahli-ahli PKR satu alternatif dengan harapan mereka merasakan bahawa ada ruang untuk bercakap mengenai masa depan parti.
“Saya hanya mahu membantu parti. Saya mahu memberi sumbangan. Saya ada kemahiran dan kekuatan... saya fikir begitu,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan