Rabu, 22 September 2010

Sumber rezeki sembilan peniaga makanan musnah dalam kebakaran


KOTA SAMARAHAN: Sembilan peniaga makanan di Pangkalan Feri Kampung Tanjung Bundong yang berhasrat mahu membuka semula operasi perniagaan mereka, selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri, hilang tempat mencari rezeki selepas gerai mereka hangus dijilat api.
TIADA APA DAPAT DISELAMATKAN: Kelihatan seorang anggota bomba memeriksa gerai yang terbakar selepas memadam api.
TIADA APA DAPAT DISELAMATKAN: Kelihatan seorang anggota bomba memeriksa gerai yang terbakar selepas memadam api.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 11.20 malam pada Isnin lepas, disedari oleh sekumpulan remaja, yang ketika itu sedang memancing di jeti berdekatan.
Sebaik ternampak api yang sedang marak dari gerai berkenaan mereka terus bekejar dan memaklumkan kepada penduduk kampung.
Seorang peniaga di tempat berkenaan, Sulong Japar Ali, 70 tahun memberitahu pemberita, beliau telah berniaga selama lebih 20 tahun di tapak tersebut.
“Saya telah berniaga di sini semenjak 20 tahun lepas dan sekarang ini, saya kehilangan tempat mencari rezeki,” ujarnya hiba.
Sulong, peniaga nasi lemak dan minuman, yang tinggal bersendirian di sebuah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat di situ, memberitahu beliau baru hendak masuk tidur apabila jirannya datang ke rumahnya memberitahu mengenai kejadian tersebut.
“Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati api sudah memusnahkan hampir kesemua gerai.
“Saya tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya dapat melihat sahaja api menjilat hampir kesemua barang di gerai itu termasuk dapur dan bekalan barangan untuk menjalankan perniagaan yang baru saya beli pagi sebelum kejadian,” kata Sulong.
Tambahnya, pusat penjaja itu mempunyai sembilan buah buah gerai di bawah Majlis Dearah Samarahan dan disewakan kepada penduduk kampung dengan hanya RM10 sebulan untuk membantu penduduk kampung menjana pendapatan mereka.
Menurut seorang lagi penduduk kampung, kebanyakan mereka baru menerima bekalan gas dari pembekal dan baru hendak bermula berniaga empat hari lepas, selepas bercuti untuk merayakan Hari Raya.
Tiga jentera Bomba, dua dari Kuching dan satu dari Kota Samarahan dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada pekerja feri, yang ternampak api merebak dari hujung gerai itu.
Pihak bomba berjaya memadamkan api dari terus merebak ke kawasan lebih jauh. Punca kebakaran masih dalam siasatan manakala jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan