Jumaat, 8 Oktober 2010

BERNAS kekurangan beras Bario

by Nick Fletcher. Posted on October 8, 2010, Friday
Dengan pengeluaran 50 tan setahun, sukar untuk memenuhi permintaan pasaran
KUCHING: PadiBeras Nasional (BERNAS) kini menghadapi masalah kekurangan pengeluaran beras Bario, dengan rekod pengeluaran 50 tan setahun menyebabkan sukar untuk mereka meme-nuhi permintaan pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Beras Corporation Sdn Bhd Mohd Kamaluddin Mohd Effendie berkata, faktor tersebut ialah berdasarkan kekurangan penanamannya.
“Petani yang menanam padi Bario di Bario ramai yang sudah lanjut usia, kerana golongan mudanya lebih cenderung berhijrah ke bandar untuk mencari peluang ekonomi yang lebih baik.
“Selain itu, kemampuan mereka untuk menanamnya juga menurun… misalnya mereka mempunyai tanah seluas tiga ekar, tetapi hanya tanam satu ekar sahaja,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Ramah-tamah Aidil-fitri BERNAS dan Pelancaran Beras Bario O’ Grain di premis Beras Corporation Sdn Bhd, di sini semalam.
Menurut beliau, sejak dipasarkan pada 2001, permintaan pasaran beras Bario amat baik, namun faktor kekurangan pengeluaran tersebut menyebabkan beras tempatan itu tidak dapat dipromosikan di Sabah dan Semenanjung.
“Kalau kita terlalu mempromosikan di Sabah dan Semenanjung, permintaan akan meningkat dan ini akan memakan diri kita kerana kita tidak dapat memenuhinya,” jelasnya sambil menambah pasaran beras Bario lebih tertumpu di Sarawak sahaja.
Sehubungan itu, bagi mengatasi masalah tersebut, Kamaluddin yakin kerajaan akan mengambil inisiatif mewujudkan peluang ekonomi yang lebih baik khasnya di Bario bagi mengelakkan trend migrasi generasi muda ke bandar.
“Mungkin peluang ekonomi di situ (Bario) lebih kepada aspek pertanian tetapi ia boleh ditingkatkan kepada aspek lain seperti keusahawanan,” katanya.
Justeru, beliau memberitahu BERNAS turut membantu petani meningkatkan pengeluaran padi Bario dengan kaedah tanaman kontrak iaitu melalui Program Rakan Ladang.
Katanya, program tersebut kini sudah dijalankan di Batang Sadong dan merancang untuk melanjutkannya di kawasan Batang Lupar.
“Kami menyediakan pinjaman keperluan tanaman seperti baja dan racun kepada petani dan mereka akan membayar balik apabila kita membeli padi mereka,” katanya. Menjelaskan mengenai kos pembelian beras Bario, Kamaluddin berkata BERNAS perlu menanggung kos pembelian sebanyak RM6 sekilogram dengan kos peng-angkutan RM6 sekilogram.
Malah, katanya sebagai tanggungjawab sosial korporat, BERNAS turut mensubsidi kos tersebut bagi memastikan pengguna di Sarawak menikmati beras tersebut pada harga berpatutan.
“Pengangkutan Beras Bario memerlukan kos yang tinggi kerana melalui laluan udara dan bukannya jalan raya… saya rasa kalau sudah ada jalan raya yang baik, mungkin kosnya akan lebih rendah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan