Selasa, 26 Oktober 2010

Jangan dahului SPR umum menang p’raya

Wartawan Kita   
GUA MUSANG, 25 Okt: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta mana-mana pihak tidak mendahuluinya bagi mengisytiharkan calon yang menang pada pilihan raya.
Timbalan Setiausaha SPR, Datuk Noordin Che Ngah berkata, pernah berlaku pada pilihan raya kecil di Dun Manek Urai tahun lepas, jentera BN mengisytiharkan lebih awal kemenangan selepas agen mereka membuat culaan menang di tempat pengundian di sebuah sekolah.
“Kiraan culaan yang dibuat agen Umno silap dan bertentangan dengan keputusan sebenar yang diperolehi SPR.
“Oleh itu, saya nasihatkan jangan ada mana-mana pihak mendahului SPR membuat sesuatu hebahan mengenai keput usan pilihan raya,” katanya pada persidangan media di Pusat Media Dun Galas di Kesedar  Inn hari ini.
Beliau juga memberitahu perbicaraan bantahan daftar pengundi baru suku ketiga tahun ini bagi peringkat parlimen Tanah Merah akan diadakan selepas pilihan raya kecil Galas.
Menurutnya, parti politik di kawasan tersebut membantah lebih 400 nama pemilih baru yang disenaraikan di parlimen berkenaan.
Katanya, pihak yang membantah dan dibantah akan dipanggil pada perbicaraan yang akan dikendalikan pengarah SPR Kelantan.
Sebelum ini, Majlis Tindakan Dun Kemahang dan Dun Bukit Panau di Tanah Merah mengesan terdapat ramai nama-nama pemilih baru yang dipamerkan SPR tidak dikenali penduduk tempatan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan