Ahad, 10 Oktober 2010

Khalid dilantik KP Kastam baru


October 10, 2010
KUALA LUMPUR, 10 Okt — Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Mohamed Khalid Yusuf dilantik sebagai Ketua Pengarah jabatan itu mulai esok.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan mengumumkan hari ini berkata Mohamed Khalid, 57, menggantikan Datuk Seri Ibrahim Jaapar yang tamat perkhidmatannya.
Pelantikan Mohamed Khalid dibuat berdasarkan pengalaman, pengetahuan dan kepimpinan yang dimilikinya selari dengan perkembangan semasa dan hala tuju Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam melaksanakan tanggungjawab memungut hasil negara dan penguatkuasaan pencegahan, kata Sidek dalam satu kenyataan.
Ini termasuk memperkasa peranan Kastam sebagai agensi barisan hadapan yang bertanggungjawab secara terus dalam urusan pengimportan dan pengeksportan barangan di negara ini, katanya.
Sidek berkata beliau percaya pengalaman dan pengetahuan Mohamed Khalid akan membantu memastikan Jabatan Kastam Diraja Malaysia melaksanakan tanggungjawab dengan penuh cekap dan berintegriti, khususnya dalam meneruskan usaha dan pelaksanaan program-program jabatan agar selari serta mendukung wawasan dan agenda pembangunan negara.
Mohamed Khalid berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia dari Scranton University, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya dan mula menyertai Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada 1 Disember 1977 sebagai Penolong Penguasa Kastam. Beliau menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) mulai 1 Februari 2009.
Mohamed Khalid juga pernah menjadi Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Operasi) pada 2007 dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pencegahan) pada 2006.
Selain itu, beliau juga pernah menjadi Pengarah Kastam Negeri Selangor (2004) dan Pengarah Kastam Negeri Sarawak (2000). — Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan