Rabu, 6 Oktober 2010

Menggalas Tugas di Pilihanraya Kecil N.45 DUN Galas


Berikutan dengan kekosongan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.45 Galas, Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah pun menggerakkan seluruh jentera pilihan raya PAS di peringkat pusat, negeri, kawasan dan DUN untuk berhadapan dengan pilihanraya kecil berkenaan yang akan diadakan pada 4 November 2010.
Dalam Pilihan Raya Kecil itu nanti, PAS akan meletakkan calon yang berwibawa dan selayaknya untuk memikul amanah rakyat di DUN Galas, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Almarhum Chek Hashim sepanjang tempoh beliau berdampingan dengan rakyat di DUN Galas.

Saya menyeru kepada seluruh ahli dan petugas PAS, serta seluruh petugas dari Pakatan Rakyat yang  berada di seluruh negara dengan kepakaran yang berbagai itu supaya dapat turun ke DUN Galas, Kelantan untuk sama-sama bertugas bagi mempertahankan kemenangan kerusi PAS di DUN Galas yang diperolehi menerusi Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu. Bertugaslah dengan penuh semangat dan dedikasi dengan menggunakan segala bentuk ilmu kemahiran berpilihan raya, dan janganlah kita terperangkap dengan provokasi dan segala bentuk taktik buruk serta tidak bermoral yang akan dilakukan oleh lawan kita nanti.  Sebagaimana pilihan raya kecil yang lepas, kita akan sekali lagi berhadapan dengan segala bentuk mainan media cetak dan televisyen yang berupa laporan berat sebelah, ugutan, cercaan dan rasuah janji pilihan raya terhadap pengundi.

Saya percaya bahawa kita semua akan dapat menghadapi tindakan tidak bermoral parti lawan nanti dengan kita menyusun strategi dan gerakerja yang kemas, serta kita sekali-kali tidak gentar dengan sebarang ugutan yang menjadi mainan parti lawan sejak puluhan tahun. InsyaAllah, kita akan mempertahankan kerusi di DUN Galas nanti.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan