Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR, 15 Okt: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mahu Bajet 2011 bersifat mesra wanita dengan memberikan peruntukan ke arah pembentukan modal insan dan kemahiran kepada wanita dalam semua sektor. Timbalan ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, kerajaan tidak harus membelakangkan peruntukan untuk wanita kerana wanita merupakan golongan yang memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan negara. "Harapan kita kepada bajet yang akan dibentangkan petang ini ialah bajet mesra wanita dan mengambil kira kepentingan wanita di semua sektor sebab kita lihat sumbangan wanita kepada pembangunan negara cukup penting. "Kita mahu wanita Malaysia juga dapat bersaing dalam memacu pembanguann negara jadi kita harap bajet ini memberikan penekanan yang khusus terutama dalam isu-isu melibatkan kemahiran wanita," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini. Beliau yang juga ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, bajet yang lepas bersifat kebajikan secara umum, tetapi tidak menjurus kepada kebajikan wanita. "Kita tengok bajet lepas ia tidak menjurus kepada kepentingan wanita dari semua jurusan. Ia hanya dari sudut kebajikan, sedangkan bajet ke arah memperkasakan wanita tidak diutamakan," katanya lagi. Menurutnya juga, kerajaan harus prihatin terhadap nasib wanita yang terpaksa berhadapan dengan masalah kemiskinan akibat mengambil alih tugas suami atau menjadi ibu tunggal. "Kita mahu bajet ini menekankan modal insan wanita itu sendiri di samping kemahiran yang perlu digarap kepada wanita kerana kita tengok kemiskinan yang tinggi adalah di kalangan wanita. "Terutamamya di kampung-kampung yang melibatkan ibu tunggal, atau wanita yang terpaksa membantu suami yang tidak dapat bekerja dan menanggung anak yang ramai," katanya. Di samping itu, beliau turut berharap agar bajet kali ini memberikan kelebihan kepada semua pihak, tidak hanya menguntungkan kakitangan awam atau golongan korporat sahaja. "Bajet kali ini diharapkan mengambil kira golongan marhain. Kita tidak mahu pelepasan cukai dan sebagainya hanya dapat dinikmati oleh golongan korporat atau bonus kepada kakitangan awam sahaja sedangkan golongan lain seperti petani terus dihimpit tekanan hidup," katanya. Beliau juga menyeru rakyat khususnya wanita tidak terpengaruh dengan pengumuman seperti pemberian bonus kerana rakyat akan terus dihimpit dengan kenaikan kos sara hidup. "Saya menyeru wanita Malaysia jangan terbuai dengan mimpi indah ada bonus dua bulan gaji dan sebagainya. Sebenarnya walaupun kita dapat bonus dua bulan gaji tetapi kita akan berdepan dengan kenaikan harga barang yang tinggi dan kos lain yang semakin meningkat. Jadi tidak ada ertinya pemberian bonus dengan beban hidup yang semakin meningkat," katanya. Bajet 2011 akan dibentangkan di Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jam 4.00 petang ini. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan