Oleh: Husaini Hussein
KUALA LUMPUR, 9.Oktober.2010- Sesi Meet The fan bersama Maher Zain di Rock Corner, The Curve menjadi sedikit kecoh apabila para peminat melahirkan rasa tidak puas hati mereka kerana gagal mendapatkan peluang bergambar dan tandatangan penyanyi terkenal dari Sweden, Maher Zain.
Mereka melahirkan rasa tidak puas hati itu berikutan syarat yang dikenakan oleh pihak Rock Corner yang menetapkan setiap para peminat yang mahu bergambar dan mendapatkan tandatangan Maher Zain perlu membeli CD Maher Zain dan menunjukkan resit sebagai bukti pembelian. Para peminat membeli CD Maher Zain dengan harga penuh, RM27.90 dan beratur panjang sejak 2.30petang.
Beberapa orang peminat yang sempat ditemui oleh pihak Munsyeed melahirkan rasa kesal dengan kejadian tersebut.
"Pihak kedai meletakkan syarat dan kita telah memenuhi syarat tersebut. Tetapi kehendak kami dinafikan hanya disebabkan faktor masa. Apabila saya minta dipulangkan duit, pihak kedai tidak memulangkannya sebaliknya menggantikan CD yang saya beli dengan CD lain yang telah ditandatangani oleh Maher Zain. Ini satu penipuan. Kami mahu berjumpa dan bergambar dengan Maher Zain sendiri."
Seorang lagi peminat yang ditemui pihak Munsyeed berharap agar kejadian seumpama ini tidak berlaku lagi.
"Saya harap kejadian ini tidak berlaku di sesi Meet The Fan bersama Maher Zain esok di Maju Junction. Tak kan kami perlu beli CD Maher Zain banyak kali untuk dapatkan peluang berjumpa dan bergambar dengan Maher Zain. Saya harap, pihak kedai tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata sebaliknya bersikap adil dengan para peminat agar wujud win-win situation."
Maher Zain yang tiba dalam jam 3.45 petang, meluangkan masa selama hampir 1 jam untuk sesi Meet The Fan tersebut.
Ketibaan Maher Zain disambut dengan penuh meriah oleh para peminat. Dihujani lensa kamera tanpa henti, Maher Zain kelihatan tenang melayani kerenah para peminat beliau. -MUNSYEED.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan