Oleh IZMAS
KETIKA muka hadapan kebanyakan akhbar arus perdana berbahasa Melayu memuji dan menyanjung berita ucapan penutup presiden Umno dan perhimpunan yang dikatakan sangat berjaya dan meninggalkan kesan mendalam, akhbar bukan Melayu yang dikuasai MCA pula menonjolkan cerita Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang mungkin bakal diadakan tidak berapa lama lagi.
Menurut tanggapan akhbar itu, ramalan itu berdasarkan beberapa isu dan peristiwa yang berlaku sekitar inti ucapan pembukaan dan penutup Najib dalam Perhimpunan Umno ke-61 yang berakhir 23 hb Oktober lalu.
Andaian mereka juga bersandarkan saranan, pesanan dan amaran Najib kepada semua ahli perwakilan Umno supaya bersiap sedia membaharui azam, cara berkerja dan bertindak apabila pulang ke kawasan masing-masing setelah tamat persidangan.
Najib dan timbalannya bakal membuat lawatan ke semua daerah dan negeri awal tahun hadapan untuk bertemu semua pemimpin dan ahli akarumbi Umno bagi mengadakan perbincangan yang disifatkan banyak pihak sebagai persediaan menjelang PRU ke-13. Beliau sudah menegaskan akan mengadakan perubahan dan rombakan besar-besaran pada pucuk pimpinan Umno negeri yang dikatakan tidak perform dan masih menjadi duri dalam daging kepada pentadbiran Umno pusat.
Beliau juga dikatakan akan merombak barisan kabinet yang melibatkan beberapa Menteri Besar dan Ketua Menteri Umno yang dilihat perlu dilakukan demi kebaikan parti dan kejayaan BN dalam menghadapi PRU akan datang. Beliau menggesa ahli bersedia menghadapi perubahan besar dalam pucuk pimpinan negeri yang tidak dapat dielakkan bagi membina barisan kepimpinan baru yang lebih dinamik dan menyakinkan.
Jika semua barisan kepimpinan sudah teratur dan mantap seperti yang diharapkan beliau, PRU boleh dipanggil pada bila-bila masa.
Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula memberi amaran supaya semua ahli merapatkan barisan dan bersiap sedia bila-bila masa sekarang kerana Najib boleh membuat keputusan tidak dijangka dalam waktu terdekat. Dalam ucapan penutupnya, beliau mengakui tidak tahu bila PM akan mengumumkan tarikh pilihan raya tapi mungkin dalam beberapa bulan akan datang. Beliau berpendapat transformasi di kalangan ahli Umno tidak dapat dielakkan dilakukan segera kerana Umno akhirnya akan berhadapan pilihan raya dan terpaksa melayani tuntutan rakyat jika mahu menang.
Menurut ramalan umum, PRU ke-13 boleh diadakan seawal Julai tahun hadapan - sesuai dengan andaian berseloroh Muhyiddin itu - jika Najib dan BN sudah benar-benar bersedia. Namun, pilihan raya boleh juga ditangguhkan sehingga tahun 2012 sekiranya persiapan Umno dan ahli-ahli komponennya dalam MCA, Gerakan dan MIC belum bersedia berubah.
Ini selaras dengan pendapat Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata PRU ke-13 tidak mungkin berlaku dalam waktu terdekat. Ini kerana situasi belum sesuai dan masalah dalam Umno belum benar-benar berubah. Banyak isu belum memihak Umno dan parti-parti utama dalam BN terutama MCA, Gerakan dan MIC yang masih bermasalah serta perlu proses pemulihan.
Perlu diingat, Umno yang sudah berubah dan bersedia tidak mungkin memenangkan BN dalam PRU ke-13 jika pemimpin tertinggi dalam parti komponen utama yang mewakilli kaum bukan Melayu belum menyediakan barsian pemimpin yang boleh diterima rakyat sekaligus boleh memenangi undi kaum mereka. Semangat tsunamai politik dalam PRU ke-12 lalu di kalangan orang Cina khususnya disyakki masih belum berubah sepenuhnya walaupun Najib sudah memperkenal dan mempromosi gagasan 1Malaysianya secara agresif.
Kebanyakan kaum Cina masih yakin Pakatan - melalui DAP dan PKR - boleh menunaikan agenda besar dan tersembunyi mereka yang seringkali masih mengungkit dan menyinggung hak istimewa orang Melayu, kontrak Sosial dan semangat Perlembagaan Persekutuan. Majoriti kaum India yang berfikiran terbuka dan berpendapatn rendah dikatakan lebih realistik dan menerima gagasan Najib setelah mereka menerima banyak bantuan dan peruntukan dari kerajaan.
Semangat untuk berubah ahli dan pemimpin Umno saja sebenarnya tidak mencukupi jika tidak disertai sama perubahan radikal sikap dan semangat ahli dan pemimpin parti utama lain dalam BN.
Soalan juga dibangkitkan; adakah Umno sudah bersedia dalam waktu terdekat untuk memanggil PRU ke-13 sedangkan banyak faktur positif belum memihak Umno dan BN? Apakah ahli-ahli Umno khususnya ahli MCA, Gerakan dan MIC benar-benar sudah berubah dan bersedia untuk menghadapi pilihan raya? Apakah Najib yakin jika PRU dilangsungkan dalam waktu terdekat, BN boleh menang besar sedangkan kekuatan Pakatan Rakyat (PR) belum diketahui walaupun sering digambarkan bermasalah dan tidak bersatu?
Penganalisis politik sependapat, keputusan pilihanraya kecil di Dun Galas dan Parlimen Batu Sapi awal November nanti boleh menjadi kayu ukur samada PRU ke-13 boleh dilaksankan dalam waktu terdekat atau sebaliknya. Jika BN menang bermakna PRU mungkin boleh diadakan segera atas alasan rakyat sudah menghantar mesej memihak mereka. Namun, jika berlaku sebaliknya, Najib mungkin menangguhkan rancangannya kerana banyak usaha terpaksa dibuat untuk mencari sebab kenapa rakyat masih menolak BN.
Sebelum ini sudah kedengaran cakap-cakap umum bahawa PRU ke-13 boleh diadakan bila bila masa pada tahun hadapan bersandarkan semangat Bajet 2011 yang ketara memihak rakyat kebanyakan berpendatan rendah dan sederhana. Banyak inisiatif dan insentif mesra rakyat yang memberi kelebihan kepada kesejahteraan umum rakyat dari kenaikan mendadak elaun dan gaji imam, guru Kafa, Tok Batin, pengerusi JKKK sehingga kepada cuti bersalin yang dipanjangkan bagi kakitangan kerajaan dari 60 hari kepada 90 hari. Semua bentuk galakan dan ganjaran dalam Bajet 2011 ditafsirkan bertujuan memikat hati rakyat supaya menghargai usaha kerajaan sekaligus mengundi BN.
Bagi majoriti ahli Umno kejayaan perhimpunan ke-61 - dengan ucapan dan bersemangat dan berapi-api - diharapkan dapat menyuntik semangat baru untuk berubah drastik seperti kehendak Najib atau mereka diubah oleh situasi yang mungkin tidak memihak mereka. Jika mereka gagal mentafsir dan melaksanakan azam dan apa yang sudah diputuskan dalam perhimpunan itu kedudukan mereka dan Umno sendiri boleh menjadi sukar kerana rakyat boleh membuat keputusan menolak jika mereka mengambil sikap bercakap tidak serupa bikin dan telalu banyak retorik dan tindakan. Rakyat boleh menghukum BN jika Najib tidak bertindak melaksanakan apa yang dirancang (walk the talk).
Gulungan muda dan berpendidikan ketika ini sudah pandai membuat pilihan berdasarkan pemerhatian dan pernilaian mereka terhadap sikap pemimpin yang benar-benar jujur berkhidmat untuk rakyat atau pemimpin yang hanya pandai berjanji dan berretorik untuk memenangi undi.
Najib mengakui tidak mudah mengubah sikap dan minda ahli Umno dalam sekelip mata kerana banyak unsur-unsur negatif masih diamalkan termasuk mensabotaj sesama sendiri jika tidak terpilih menjadi calon. Ramai ahli yang ‘membentes' kawan dan ‘menjaringkan' gol sendiri kerana kecewa tidak dipilih perwakilan dan pemimpin pusat.
Najib dan Muhyidin boleh berharap ahli-ahli Umno berubah demi kebaikan parti dan meninggalkan sikap mementingkan diri dan kroninya. Banyak pihak berpendapat semangat berokobar-kobar dan berapi ahli untuk berubah hanya berada dalam Dewan PWTC ketika persidangan. Sekembali ke kawasan masing-masing mereka dikatakan sukar dan masih tidak berubah; kembali kepada kebiasaan dan amalan lama jika tidak mendapat apa yang dihajat dan dipantau dengan ingatan berulangkali oleh pemimpin dari pusat.
Melalui tinjauan penulis, ramai di kalangan ahli akar umbi Umno skeptikal terhadap perwakilan Umno yang baru pulang dari perhimpunan Umno ke-61 itu boleh berubah secara drastik kerana banyak amalan dan sikap buruk lama yang sukar dihapuskan sepenuhnya di kalangan pemimpin bahagian dan cawangan terutama melibatkan rasuah politik! IZMAS, 28hb Okt. 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan