Jumaat, 29 Oktober 2010

Sarawak dilanda Malapetaka di Sungai Rajang

Oleh: amkns

"Oleh Dr Jeniri Amir
- Berita Harian 29 Okt 2010 -

Malapetaka Sungai Rajang mula dirasai. TIGA kejadian membabitkan sungai di Sarawak menjadi tajuk berita sejak kebelakangan ini. Pertama, kemalangan membabitkan bot ekspres yang mengorbankan nyawa di Sungai Anap, Tatau. Kedua, air di Sungai Rajang yang semakin surut.


Ketiga, usaha kerajaan negeri di bawah pelan induk untuk membersihkan semua sungai dan cabangnya bermula dengan Sungai Sarawak.  
Sungai menjadi nadi kegiatan ekonomi, sistem pengangkutan dan kehidupan sebahagian besar daripada 2.5 juta penduduk Sarawak, terutama mereka di sepanjang Sungai Rajang, Sungai Baram, Batang Sadong, Batang Tatau, Batang Lupar dan Sungai Limbang.  Sarawak mempunyai 55 batang sungai. Jika sungai mati, maka segala kehidupan dan kegiatan mereka akan turut mati.
Sungai mempunyai peranan signifikan dan kesan besar dalam kehidupan seharian mereka. Sungai bukan saja perlu dipelihara tetapi dilindungi daripada segala kegiatan yang mengancam hayatnya.  Jika sungai sudah tercemar dan mati, ia tentu merugikan manusia dan mendatangkan malapetaka yang tidak sukar dibayangkan. Tidak ada gunanya menyesal apabila nasi sudah menjadi bubur.  
Jadi, sebelum sesuatu yang tidak diingini terjadi, pelbagai langkah perlu diambil untuk mengelakkan kejadian buruk menimpa kita. Usaha menyelamatkan sungai daripada pencemaran bukan saja memakan masa dan tenaga, tetapi memerlukan peruntukan besar.  Sebenarnya, semua itu tidak perlu jika kita sensitif dan prihatin terhadap sungai dan tidak mengambil ringan dengan membuang segala sampah ke dalamnya sehingga mencekik dan mematikan sungai.  
Tidakkah kita berasa berdosa dan kesal melihat sungai yang mengalir lancar dan begitu bersih suatu ketika dulu, kini tidak lagi bergerak, berbau busuk dan dipenuhi sampah dan keladak?  
Jadi, apabila Sungai Rajang dicemar oleh sampah sarap dan balak dua minggu lalu, tidak hairan ramai yang memperlihatkan keprihatinan mereka. Sungai Rajang perlu segera diselamatkan dan dibersihkan daripada sebarang ancaman angkara perbuatan manusia yang rakus dan tidak mempedulikan alam sekitar.
Kini, kita wajar berasa risau dengan kejadian yang menimpa Sungai Rajang. Sungai Rajang yang menarik perhatian ramai baru-baru ini kerana fenomena balak dan sampah sepanjang 50 kilometer sehingga menggemparkan penduduk di sepanjang sungai terbabit, kini berdepan dengan ancaman lain yang tidak kurang risikonya.  
Kerajaan memang sedar peranan sungai berkenaan sebagai laluan kapal dan bot. Pada 2002 misalnya, kerajaan Pusat menyumbang peruntukan RM4 juta bagi tujuan khas untuk melaksanakan Program Pencegahan Pencemaran dan Peningkatan Kualiti Air Batang Rajang.
Program itu bertujuan untuk membantu memastikan setiap aktiviti pembangunan dilaksanakan di kawasan Lembangan Batang Rajang, termasuk Projek Bakun, tidak menjejaskan kualiti air, serta kegunaan berfaedah Batang Rajang.  
Sungai Rajang semakin kering. Air semakin susut dan akibatnya, penduduk di Sibu, Kanowit, Song, Kapit dan Belaga dicengkam kebimbangan yang bukan kepalang. Ini berita buruk kepada mereka yang sekian lama bergantung kepada sungai sebagai nadi kehidupan dan pengangkutan.  
Malah, sungai berkenaan menjadi mangkin kehidupan sejak zaman-berzaman lagi. Bayangkan tanpa jalan raya, bagaimanakah penduduk dari kawasan terbabit dapat bergerak dari satu tempat ke tempat lain dan juga pergi ke Sibu?
 
Apakah yang menjadi sebab air semakin kering? Adakah kerana langkah menakung air di Empangan Bakun setinggi 205 meter? Hakikatnya, satu pertiga daripada sumber air yang mengalir ke dalam Sungai Rajang dinafikan dengan langkah penakungan air berkenaan.
Puncanya bukan kerana ketiadaan hujan kerana sebelum itu pun hujan tidak pernah turun untuk beberapa hari tetapi tidaklah seperti sekarang.
Kali ini air cepat susut di dalam sungai sehingga mendedahkan tebing dan segala kemudahan prasarana berkaitan dengan sistem pengangkutan.  
Kerisauan penduduk di sepanjang sungai berkenaan memang beralasan kukuh. Penduduk dari Kanowit mungkin tidak begitu risau kerana mereka dihubungkan dengan jalan raya ke Sibu, tetapi bagaimana dengan mereka di Song, Kapit, Belaga dan kawasan sekitarnya?  
Sungai Rajang satu-satunya sistem pengangkutan yang memungkinkan mereka bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Jika sungai itu sudah kering kontang, ini satu malapetaka yang pasti mendatangkan kesulitan yang luar biasa kepada petani, penangkap ikan, pembalak, pengendali bot dan sebagainya.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan