Jumaat, 8 Oktober 2010

Tiada Bukti Wujud Paksaan Tentang Dua Akuan Sumpah Rahimi, Peguam Gesa Beliau Tarik Balik Kenyataan Atau Berdepan Tindakan Mahkamah


PETALING JAYA, 7 Okt [2.32 pm] - Dua Peguam Parti Keadilan Rakyat (PKR), Latheefa Koya dan Saiful Izham Ramli mendakwa tiada sebarang unsur penahanan atau paksaan ke atas bekas Setiausaha Sulit Penasihat PKR, Muhamad Rahimi Osman berhubung dakwaan dipaksa menandatangi akuan bersumpah (SD). Malah mereka memberitahu, terdapat ramai pemimpin parti yang kebetulan berada di Hotel Quality, Shah Alam bagi menghadiri seminar menjadi saksi bahawa Rahimi secara sukarela hadir ke hotel tersebut pada tahun 2008 itu. Pada satu sidang media bersama seorang lagi peguam, Saiful Izham Ramli di ibu pejabat parti hari ini, Latheefa yang juga Ketua Penerangan PKR memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim itu jika tidak memohon maaf dan menarik balik fitnah dan pembohongan yang didedahkan pada Rabu. "Dia berada di hotel itu atas kehendaknya sendiri sepanjang masa, bebas dan secara sukarela membantu kami dalam kes Anwar. "Tuduhan Rahimi yang mendakwa bahawa SD itu diubah untuk memasukkan nama Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri) dan Datin Seri Rosmah Mansor adalah mengarut dan tidak benar sama sekali "Ini kerana maklumat yang sama diberikan Rahimi kepada mereka adalah selari dengan dengan kenyataannya kepada polis pada 23 Julai 2008. Dia sahkan bahawa tahu (Mohd.) Saiful (Bukhari Azlan) telah menemui Najib dan Rosmah," jelasnya.

Rahimi Di Gesa Tarik Balik Kenyataan Fitnahnya

Muhamad Rahimi semalam mendakwa dipaksa menandatangani dua surat akuan bersumpah pada tahun 2008 bagi mempertahankan Anwar daripada tuduhan liwat. Dakwaan itu dibuat oleh Muhamad Rahimi dalam satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Klang dengan ditemani seorang peguam. Di dalam laporannya itu turut menyebut nama Latheefa dan Saiful Izham sebagai peguam yang terlibat. Mengulas lanjut, Latheefa berkata, Muhamad Rahimi yang merupakan rakan kepada rakan Mohd Saiful yang mendakwa diliwat Anwar turut memberitahu polis bahawa dia dibawa oleh Datuk Mumtaz Jaafar, rakan baik Rosmah untuk menemui Najib dan isterinya itu. "Muhamad Rahimi berkongsi maklumat ini dengan kami selepas memberikan keterangan kepada polis. Dia juga memberitahu polis menemui Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor dan pegawai polis dikenali sebagai Rodwan berpangkat Senior Asisten Komisioner," ujarnya. Sementara itu, peguam N.Surendran (foto) berkata, kenyataan Muhamad Rahimi itu jelas pembohongan dan fitnah terhadap dua anak guamnya itu. "Tanpa ragu, kami merasakan ia merupakah satu fitnah. Satu surat peguam akan dikeluarkan menuntut dia menarik balik kenyataan itu, membuat permohonan maaf terbuka atau menghadapi tindakan undang-undang," tambah beliau lagi..

[Nampaknya kes Rahimi ini semakin panas dan mengoncangkan iklim politik negara. Tidak habis-habis Anwar dikaitkan dengan satu isu yang mengundang seribu persoalan dikalangan rakyat. Ramai yang tertanya-tanya, jika benar Rahimi mahu membuat sidang media bagi mendedahkan tentang akuan sumpahnya itu maka apa perlu dia memanggil media ke Restoran Lotus di Klang?. Bukankah dia boleh memilih lokasi yang lebih selamat dan terkawal seperti di dalam bilik hotel eksklusif (Suite Room). Malah, dia tidak perlu membuat kenyataan terbuka seperti ini, sekarang zaman canggih dan Rahimi hanya perlu membuat sidang video untuk dimuat turun di dalam internet atau di blog Saiful Bukhari sendiri. Bukahkan ia tidak akan menimbulkan sebarang ketegangan atai kontroversi sebenarnya. Soalnya, kenapa dia relah adakan di tempat terbuka seperti itu?. Apakah beliau memang mencipta kekecohan supaya orang nampak kononnya dia dipihak yang benar. Baginya, penyokong Anwar menghalang kerana kebenaran yang ingin dibawanya itu. Media pasti akan menghebohkan berita ini dan kononnya sidang media itu diganggu dan sebagainya. Padahal, penyokong Anwar layak menganggu sidang media yang berbentuk fitnah seperti itu demi menjaga maruahnya].

Dek Kerana Takutkan Kelibat 'Ketua Pemuda PAS' Serta 'Presiden GAMIS', Pihak Universiti Malaysia Pahang Permainkan Program Anjuran Mahasiswa

KUANTAN, 7 Okt [9.30 pm] - Gara-gara takut dengan kelibat Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasharuddin Hassan Tantawi dan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Mohd Idris Mohd Yusoff maka pihak pentadbiran Universiti Malaysia Pahang telah menggagalkan penganjuran Wacana Ilmu Mahasiswa Politik anjuran sekumpulan pelajar tahun akhir universiti itu. Wacana yang sepatutnya diadakan pada 30 September lalu, telah digagalkan oleh pihak pentadbiran universiti dengan berbagai helah yang tidak sepatutnya berlaku. Kegagalan penganjuran ini menyebabkan para pelajar terbabit kecewa dan bertindak untuk mengadakan satu "Majlis Penerangan" tengahari ini. Menurut maklumat, program yang telah mendapat kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu sepatutnya menampilkan ahli paner yang terdiri daripada Ustaz Nasharuddin Hassan Tantawi (Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat), Mohd Idris Mohd Yusoff (Presiden Gamis), Dr.Sarjit Singh (Pensyarah Universiti Putra Malaysia) dan Datuk Saifuddin Abdullah (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi). Manakala tajuk yang telah dipilih ialah "Wacana Ilmu Mahasiswa Politik: Adakah Kita Sudah Bersedia". Difahamkan, susulan adanya nama Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi, maka Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA) UMP dikatakan sengaja menolak permohonan pihak terbabit dengan alasan kononnya tajuk wacana itu tidak sesuai. Malah JHEPA meminta pihak berkenaan meminda tajuk dan senarai ahli panel.

Pelajar Kecewa, Anjurkan Satu Majlis Penerangan

Maka, pada 24 September 2010 satu perjumpaan telah diadakan dengan Naib Canselor UMP iaitu Dato' Dr.Daing Nasir Ibrahim (foto) mengenai program tersebut. "Kami telah mengemukakan tajuk baru berkaitan usaha penyuburan demokrasi dikalangan mahasiswa di kampus. Malah kami juga bersetuju mencadangkan nama Naib Canselor terbabit bagi menggantikan Ustaz Nasharuddin (PAS) dan Mohd Idris (Gamis). Bagaimana pun Dr.Daing telah meminta kami menukarkan tajuk kepada yang lebih bersifat global", kata kenyataan pihak berkenaan. Dalam pertemuan itu, tambahnya, Naib Canselor turut memberi beberapa cadangan tajuk yang berkaitan dengan sosial dan integriti. Berikutan masalah untuk kelulusan itu, katanya, mereka mengubah tarikh mengadakan wacana kepada 7 Oktober (hari ini). "Kebetulan pada tarikh tersebut, berlangsung ekspo konvokesyen UMP, dan kami mencadangkan kepada pengerusi ekspo supaya wacana diadakan sewaktu ekspo berlangsung. "Pada mulanya ia dipersetujui oleh pengerusinya tetapi ia dibatalkan kemudiannya kerana masalah tajuk wacana itu," tegasnya.


Gara takut dengan kelibat dua pemimpin ini maka akhirnya
wancana mahasiswa tahun akhir UMP dipermain-mainkan
[ Ustaz Nasharuddin (kiri) dan Mohd Idris (kanan) ]
Berikutan itu pelajar terbabit akan mengadakan satu majlis penerangan esok bagi menyuarakan pandangan dan rasa tidak puas hati mereka berhubung isu pembatalan program berkenaan. Majlis penerangan itu akan diadakan di Kafeteria Kolej Kediaman Pertama UMP pada jam 12 tengahari ini. Sekitar 100 orang pelajar dijangka menghadiri majlis itu.

[Apa yang berlaku ini memang sungguh memalukan dan menjatuhkan imej Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebagai sebuah pusat pengajian tinggi yang bakal melahirkan golongan intelektual sebenarnya. Wacana yang memberi peluang kepada para pelajar untuk mendapatkan input-input politik secara neutral itu telah dipermainkan oleh pihak pentadbiran yang takut tidak bertempat. Bukankan wacan itu turut mengundang seroang Timbalan Menteri UMNO iaitu Saifuddin Abdullah (foto) sebagai Ahli Panelnya. Maka, apa yang harus ditakutkan sangat sebenarnya. Bukankah ada pengerusi panel yang boleh memainkan peranan untuk memastikan skop yang dibincangkan itu tidak terlalu menjurus ke arah provokasi semata-mata. Makanya, tidak perlu pihak UMP mempermain-mainkan pelajar sedemikian rupa. Beri mereka peluang untuk mendengar pandangan daripada semua pihak agar ilmu yang dipelajari itu akan mematangkan mereka apabila keluar kelak. Tindakan UMP ini amatlah memualkan sama sekali, kerana jelas cuba menyekat dan mengongkong para pelajar, bairpun mereka sudah berada di tahun akhir. Amatlah merugikan bila masih ada sikap sedemikian pada golongan cerdik pandai terbabit, sedangkan dari maklumat kami ramai staff UMP menyokong Pakatan Rakyat sebenarnya].

Tiada ulasan:

Catat Ulasan