Isnin, 29 November 2010

Dr M, Rafidah berkongsi pentas Dialog MEF-macam bn terdesak aje ....

Kemunculan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Rafidah Aziz pada satu majlis dialog di sini esok, sudah pasti mempunyai erti tersendiri kerana barangkali inilah kali pertama dua tokoh hebat ini berkongsi pentas untuk bercakap pada forum umum selepas peristiwa "Pelukan Merdeka" antara mereka pada majlis sambutan Hari Merdeka 2005.

Mereka akan memainkan peranan utama pada Dialog MEF Kuala Lumpur ketiga bertemakan "Menoleh ke Belakang Untuk Mara Ke Hadapan" anjuran Forum Malaysia-Eropah (MEF) di Hotel Crowne Plaza Mutiara di Kuala Lumpur.

Sebelum terjelmanya peristiwa yang menyentuh hati itu di Putrajaya enam tahun lepas, Rafidah, yang ketika itu meyandang jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menjadi sasaran kecaman selepas Dr Mahathir membangkitkan isu berkaitan Permit Import (AP) kereta yang dikeluarkan kementerian berkenaan.

Rafidah dan Dr Mahathir saling membalas kenyataan berhubung isu kontroversi tersebut hingga mendorong banyak pihak menyarankan agar Rafidah memohon maaf kepada Dr Mahathir berikutan kenyataan beliau yang mereka anggap mengguris hati bekas perdana menteri itu.

Rafidah merupakan penasihat dan penaung MEF, sebuah pertubuhan bebas dan tidak bertujuan mencari keuntungan yang ditubuhkan untuk menggalakkan pertukaran pendapat dan mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Eropah.

Dr Mahathir pula bersetuju untuk berucap pada forum itu, maka kehadiran mereka di pentas yang sama esok bolehlah ditafsirkan sebagai pertemuan dua tokoh yang kembali berdamai.

Sekretariat forum itu yang dihubungi hari ini mengesahkan kehadiran Dr Mahathir dan Rafidah pada majlis berkenaan.

Rafidah akan menjadi perantara bagi sesi yang akan menyaksikan bekas ketuanya itu menyampaikan ucaptama bertajuk "Landskap Politik Malaysia - Pengalaman, Perspektif dan Pemikiran."

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan