Sabtu, 6 November 2010

Enjin Airbus A380 meletup di udara


Penyembur jentera bomba menembak air ke arah sebuah enjin pesawat Qantas Airways di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura semalam.



SINGAPURA - Sebuah pesawat gergasi Airbus A380 milik syarikat Qantas Airways dari Australia yang membawa 459 orang termasuk 26 krew mendarat cemas di sini semalam selepas sebuah enjinnya meletup menyebabkan bingkai enjinnya berkecai di udara.
Insiden semalam adalah paling serius membabitkan pesawat Airbus A380 sepanjang tiga tahun sejarah penerbangannya.
Pesawat Airbus A380 yang turut dikenali dengan gelaran Superjumbo memiliki empat enjin dan merupakan pesawat penumpang terbesar, paling senyap dan paling mesra alam di dunia.
"Sebelum ini, beberapa insiden kecil melibatkan enjin Airbus A380 pernah berlaku tetapi tiada satu pun yang serius seperti ini," kata seorang pakar penerbangan, Tom Ballantyne.
Syarikat Qantas pula memiliki rekod penerbangan paling selamat di dunia tanpa nahas udara yang meragut nyawa sepanjang 90 tahun ia beroperasi.
Namun, pada pukul 11.46 pagi waktu tempatan semalam, pesawat dua tingkat milik Qantas itu terpaksa mendarat cemas.
Juruterbang membuat keputusan untuk membuat pendaratan cemas selepas sebuah enjin di sayap kiri pesawat itu terbakar 15 minit selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura pada pukul 9.56 minit pagi.
Pesawat berkenaan berlepas dari London dan singgah di Singapura semasa dalam penerbangan menuju ke Sydney, Australia.
Beberapa saksi berkata, mereka terdengar letupan kuat di udara dan melihat serpihan-serpihan logam terjatuh ketika pesawat itu mengalami masalah enjin di pulau Batam yang terletak dekat dengan Singapura.
Serpihan-serpihan bingkai itu termasuk sekeping serpihan dengan sebahagian lambang kanggaru terbang terhempas di sebuah kawasan perumahan dan industri di Batam.
"Saya tidak melihat pesawat terhempas tetapi saya terdengar satu letupan kuat di udara. Selepas itu, serpihan-serpihan logam menjunam dari udara dan terhempas di sebuah kawasan industri di Batam," kata seorang saksi, Noor Kanwa.
Seorang lagi saksi berkata, berpuluh-puluh penduduk Batam keluar dari rumah mereka dan melihat pesawat itu berlegar-legar di udara untuk membuang minyak sebelum cuba mendarat.
Beberapa laporan awal media menyatakan, pesawat itu terhempas selepas meletup di ruang udara Batam.
Namun, laporan tersebut kemudian disangkal oleh pihak pengurusan Qantas Airways yang mengeluarkan kenyataan bahawa penerbangan itu terpaksa mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura selepas mengalami masalah enjin tanpa mengulas lanjut.
Dalam satu wawancara telefon dengan seorang penumpang, Ulf Waschbusch berkata, dia terdengar bunyi letupan di udara dan melihat sayap Qantas A380 terbakar sejurus selepas ia berlepas.
"Kami mendengar bunyi letupan, saya melihat satu kebakaran kecil berlaku pada sayap kirinya," kata Waschbusch yang berasal dari Jerman.
"Sayap kiri pesawat itu pecah sedikit," tambah penumpang itu yang bekerja di sebuah syarikat teknologi di Singapura dan menuju ke Sydney untuk melancong.
Menurutnya, juruterbang kemudian mengumumkan bahawa pesawat tersebut akan membuang minyak sebagai persiapan untuk melakukan pendaratan cemas.
"Kami berlegar-legar di ruang udara Batam selama hampir dua jam untuk membuang minyak," katanya.
"Tanpa diduga, semua penumpang berada dalam keadaan tenang. Kami langsung tidak menjerit," jelas Waschbusch.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa pegawai Australia memberitahu, tiada penumpang atau krew pesawat itu yang cedera dalam kejadian tersebut.

GAMBAR menunjukkan bingkai enjin Qantas yang berkecai.


Namun, penumpang-penumpang ditawarkan sesi kaunseling selepas insiden tersebut.
Ekoran kejadian itu, pihak Qantas Airways membuat keputusan menggantung penerbangan semua enam pesawat Airbus A380 miliknya sehingga satu siasatan menyeluruh dijalankan.
Siasatan menyeluruh itu akan turut melibatkan agensi siasatan nahas udara Perancis (BEA).
Seorang jurucakap BEA menyatakan, sebuah enjin pesawat itu mengalami kerosakan serius.
"Apa yang kami tahu buat masa sekarang ialah bingkai bahagian belakang enjin tersebut hilang. Terdapat kerosakan pada bahagian belakang motor jet yang membawa masalah yang serius," katanya di Paris.
Pada masa ini terdapat 37 pesawat Airbus A380 yang beroperasi di seluruh dunia. Sebuah pesawat itu berharga dari AS$346.3 juta (RM1 bilion). - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan