Selasa, 16 November 2010

Jika Berlaku Pilihanraya Tergempar Sekarang, PR Kalah Teruk


PRU tergempar tidak memihak kami tapi tiada pilihan, akui Pakatan

KUALA LUMPUR, 15 Nov — Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengakui perikatan itu berhadapan dengan situasi rugi jika pilihan raya umum ke-13 dipanggil lebih awal, di sebalik kebangkitan semula Barisan Nasional (BN) yang memenangi dua pilihan raya kecil serentak baru-baru ini.

Malah, perikatan itu melihat pilihan raya umum tergempar juga tidak memihak kepada mereka dan merupakan satu kekurangan jika mengambil kira beberapa perkembangan membabitkan komponennya.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat juga merasakan kesan negatif ekoran pemilihan langsung PKR julung kali diadakan, yang tercalar dengan dakwaan manipulasi dan pelbagai kecacatan. Malah pemilihan DAP Perak semalam, yang menyaksikan wujudnya perpecahan kepimpinan komponen PR di negeri itu juga menimbulkan tanda tanya sama ada boleh menghadapi pilihan raya umum dengan penuh yakin.

Keadaan itu diburukkan dengan tindakan Datuk Zaid Ibrahim — pengumuman terbaru menunjukkan beliau keluar PKR hari ini.

Justeru, beberapa wakil rakyat PR yang dihubungi berkata, waktu pilihan raya umum ke-13 diadakan kemungkinan tidak memihak mereka jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memutuskan untuk membubarkan Parlimen dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Pun begitu, mereka mengakui bahawa mereka perlu bersedia untuk menghadapi persaingan memandangkan mereka tidak boleh mempengaruhi proses pemilihan waktu untuk diadakan pilihan raya.

Malah mereka juga mengakui bahawa sudah ada peralihan sokongan bukan Melayu ke arah BN dengan prestasi pilihan raya kecil kerusi DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi walaupun mereka menekankan bahawa trend itu tidak mewakili sokongan sebenar di peringkat nasional.

“Nampaknya, pilihan raya umum akan diadakan dalam waktu terdekat, dalam tempoh beberapa bulan ini.

“Waktu ia akan diadakan bukan sesuatu yang memihak kami,” kata Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke kepada The Malaysian Insider apabila ditanya pandangannya mengenai cakap-cakap mengenai pilihan raya umum tergempar.

BN mempunyai mandat sehingga Mei 2013 untuk mengadakan pilihan raya umum iaitu lima tahun selepas pilihan raya umum 2008.

“Pentadbiran Barisan Nasional akan mengambil peluang ekoran kemenangan di Galas dan Batu Sapi, dan juga perkembangan dalam Pakatan sekarang. Mereka akan mengambil kesempatan daripada kedudukan kami yang lemah,” katanya.

Sehubungan itu, kata Ketua Pemuda DAP ini, Pakatan Rakyat perlu bertindak secara bersama dengan mengetepikan salah faham dan pergeseran sesama sendiri.

“Dalam konvensyen Pakatan Rakyat akan datang, kami perlu datang dengan garis panduan yang lebih jelas, bertindak ke atas cadangan-cadangan bagi menyelesaikan isu semasa seperti isu air, kenaikan tol... kami perlu mengurangkan politiking, sebaliknya perlu menyelesaikan masalah yang wujud.

“Saya merasakan rakyat sudah penat dengan persekitaran politiking (sejak sekian lama),” kata beliau.

PR akan mengadakan konvensyen keduanya di Pulau Pinang bulan depan.

Sambil menekankan bahawa Pakatan Rakyat tiada pilihan apabila berhadapan dengan pilihan raya, Pengarah Strategi PKR Chua Tian Chang berkata, “kami perlu menghadapinya sama ada kami sebenarnya sudah bersedia ataupun sebaliknya.”

“Menjadi kerajaan yang memerintah adalah satu kelebihan, BN boleh menentukan tarikh (pilihan raya),” kata beliau ketika dihubungi.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Batu itu mengakui bahawa jika pilihan raya umum diadakan dalam waktu terdekat, ia tidak akan menjadi sesuatu yang memihak kepada Pakatan Rakyat.

“Tetapi kami kena iktitaf bahawa pilihan raya tergempar, jika diadakan pada bila-bila masa, ia akan menjadi satu kekurangan kepada kami,” kata beliau lagi.

Beliau bagaimanapun mendakwa sokongn bukan Melayu masih kekal kuat di sebelah Pakatan Rakyat meskipun BN menang di Galas dan Batu Sapi.

“Dari segi sokongan bukan Melayu, meskipun ada peralihan di Galas, tetapi tidak ada peralihan di Batu Sapi.

“Sebenarnya di Batu Sapi, ada peningkatan sokongan bukan Melayu ke arah Pakatan.

“Sebagai seorang ahli politik, sudah tentu saya akan mengatakan bahawa trend pengundian di Galas dan Batu Sapi tidak mewakili trend kebangsaan,” kata beliau lagi.

Bendahari PAS Dr Hatta Ramli memberitahu, peralihan sokongan bukan Melayu ke arah BN di Galas dan Batu Sapi merupakan kes terpencil dna bukan sesuatu yang signifikan.

Kata beliau, peralihan seumpama itu bukan sesuatu yang biasa dalam pilihan raya kecil ekoran skala kempen dan sumbangan yang diberikan untuk mendapatkan sokongan mereka.

“Saya tidak melihat ia mewakili sentimen keseluruhan negara,” katanya.

“Pun begitu, ia masih merupakan panggilan amaran bagi setiap orang dalam Pakatan untuk memobilisasikan jentera kami untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum,” kata Ahli Parlimen Kuala Krai ini.

Pemerhati dan penganalisis politik melihat kejayaan BN di dua pilihan raya kecil serentak termasuk merampas balik kerusi Galas sebagai petanda Pakatan Rakyat sudah hilang momentum 2008 manakala Umno dan BN memperbaiki kedudukan menjelang pilihan raya umum ke-13.

Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin akan turun padang menemui ahli dan penyokongnya mulai awal tahun depan, yang dilihat sebagai petanda pilihan raya umum semakin dekat.

Beliau dijangka mengumumkan perubahan kepimpinan Umno peringkat negeri akhir bulan ini. -TMI

Ulasan GB

Setelah tewas berturut-turut di Bagan Pinang, Hulu Selangor, Galas dan Batu Sapi, pun masih ramai pemimpin-pemimpin PR yang masih diuleti mimpi dan terjebak dengan sindrom penafian. Masih cuba bermain kata untuk menyedapkan rasa.

Galas dan Batu Sapi - "worst case scenarios" atau "best case scenarios" atau akan menjadi "typical scenarios" untuk PRU13? Hanya si lembu akan berkata itu kes terpencil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan