Khamis, 25 November 2010

Media Kerajaan Taksub Cari Kelemahan Pakatan Rakyat


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketaksuban Barisan Nasional(BN) untuk mencari kelemahan Pakatan Rakyat bukanlah sesuatu perkara yang baru.

Menurutnya, Pakatan Rakyat sudah lali dengan tindak tanduk BN yang mempergunakan pelbagai cara termasuk media massa dan menggunakan badan-badan kerajaan dalam usaha mereka untuk melemahkan gabungan mantap parti PKR, PAS dan DAP.

Anwar, mengulas laporan bahawa BN mahu mengambil kesempatan dari kekecohan yang dikatakan berlaku ketika proses pemilihan pimpinan parti itu dalam persediaan menghadapi pilihanraya umum ke13 akan datang.

"Apa yang kurangnya dengan sebelum pilihanraya 2008... yang dia (BN) kutuk PAS, DAP dan PKR dan saya tidak fikir rakyat akan mudah diperbodohkan. Mereka menggunakan media untuk mempengaruhi rakyat, terutama masyarakat Melayu yang disekat sama sekali ruang untuk berfikir melalui media bahasa Melayu ," katanya lagi.

Beliau yang sebelum itu, mempengerusikan mesyuarat jadual berskala Pakatan Rakyat di Parlimen petang tadi berkata tiada apa yang pelik dengan tindakan BN seperti yang dilaporkan kerana ia adalah amalan biasa gabungan berkenaan pada setiap kali pilihanraya bakal diadakan.

Menurutnya, BN akan menggunakan semua isu yang difikirnya boleh menjatuhkan Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail menyanggah dakwaan bahawa bilangan ahli parti yang mengundi bagi pemilihan jawatan baru-baru ini mencerminkan bahawa PKR tidak memiliki 400 ribu ahli seperti yang nyatakan.

Menurutnya, jumlah ahli parti yang terbabit dalam pengundian terus semasa pengundian peringkat cabang dan pimpinan jelas lebih baik dari parti komponen BN sendiri seperti MCA, MIC dan Umno.

"Semasa pilihan peringkat cabang lebih 70,000 ahli parti telah mengundi dan 30,000 lagi ketika pengundian peringkat pimpinan dan jelas sekali angka ini lebih baik dari parti Umno, mahupun MCA atau MIC," katanya lagi.

Beliau turut menyifatkan pemilihan melalui pengundian terus ahli-ahli PKR menunjukkan trend yang sihat dalam mendukung aspirasi sebuah parti berdemokrasi.

Terdahulu, beberapa pihak termasuk beberapa bekas pemimpin parti itu sendiri dilaporkan cuba memperlekehkan kewibawaan PKR dengan mempersoalkan kesahihan parti berkenaan mempunyai sehingga 400,000 anggota.

Mereka mendakwa kononnya sehingga kini dakwaan itu gagal dibuktikan sama ada menerusi rekod bertulis mahupun pemilihan Majlis Pimpinan Pusat yang berakhir Ahad lalu yang menyaksikan hanya 10 peratus daripada jumlah yang dikatakan ahli parti keluar mengundi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan