Selasa, 9 November 2010

Obama puji hubungan AS-India



BARACK OBAMA berjabat tangan dengan Presiden India, Pratibha Patil di New Delhi semalam.


NEW DELHI - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama semalam memuji perikatan yang lebih akrab dengan India.
Menurut Obama, India telah meletakkan kedudukannya sebagai satu kuasa dunia dan sekutu AS di peringkat global.
Presiden AS itu menyatakan demikian pada hari terakhir lawatan berkunjung tiga harinya ke India.
Dalam lawatan itu, beberapa perjanjian komersial ditandatangani dalam bidang pertanian, kesihatan dan tenaga.
Obama menyatakan, prinsip demokrasi dan hak asasi manusia kerap diabaikan di seluruh dunia.
Namun, katanya, India dan AS akan bekerjasama untuk mempromosikannya.
"Bagi kedua-dua negara untuk berdiri bersama mempromosikan prinsip ini di forum antarabangsa, saya berpendapat ia boleh menjadi berkuasa dan sesungguhnya penting," katanya pada satu sidang akhbar bersama Perdana Menteri India, Manmohan Singh.
Manmohan turut menyatakan pada sidang akhbar itu bahawa negaranya telah memutuskan untuk mempertingkatkan hubungan di antara kedua-dua negara sebagai rakan yang saksama dalam satu hubungan strategik.
Hari ini, Obama akan berkunjung ke Indonesia yang merupakan negara yang menjadi tempat tinggalnya semasa zaman kanak-kanak.
Beliau kemudian akan menghadiri mesyuarat Kumpulan 20 buah negara maju yang lebih dikenali sebagai G-20 di Seoul, Korea Selatan. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan