Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR, 8 Nov: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub mencadangkan kerajaan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperbaiki sistem yang digunakan sekarang untuk mengenakan saman kepada pengguna jalan raya. Salahuddin ketika mencelah dalam perbahasan di Dewan Rakyat petang tadi berkata, saman ekor yang dikenakan PDRM bersifat tidak adil dan perlu dimansuhkan segera. Ini kerana katanya, terdapat banyak masalah yang timbul akibat saman yang dikenakan antaranya apabila bukan pemilik kenderaan itu sendiri yang menggunakannya ketika saman dikenakan. "Menteri tadi secara terbuka mengakui memang ada kesilapan di peringkat pelaksanaan seperti mesin manual yang digunakan, dan seumpamanya tetapi pengguna jalan raya tetap menerima saman. "Saya melihat saman ekor ini satu saman yang tidak adil. Apabila diberikan saman ini kepada mereka yang melakukan kesalahan itu secara umum, kadang-kadang bukan tuan kereta yang pandu. Orang pinjam kereta, tiba-tiba ada saman. Ini menimbulkan banyak masalah. "Adakah Yang Berhormat tidak boleh mempertimbangkan bahawa apa yang penting saman ekor itu dihapuskan, diperbaiki sistem itu," kata beliau yang juga Naib Presiden PAS. Sementara itu, Dr. Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) menegaskan, saman ekor bercanggah dengan perkara 13 Perlembagaan Persekutuan iaitu hak seseorang terhadap hartanya. "Saman ekor bertentangan dengan perkara 13 Perlembagaan Persekutuan iaitu hak terhadap harta. "Sekiranya seseorang itu disenarai hitamkan, dan Jabatan Pengangkutan Jalan enggan memperbaharui cukai jalan maka dia tidak boleh menggunakan keretanya. "Jadi tidakkah ini melanggar prinsip perlembagaan," katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan