Ahad, 14 November 2010

Sudah sampai masa Umno diganti


SHAH ALAM, 14 Nov: Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata sudah sampai masanya PAS menggantikan Umno dimana rakyat khususnya Melayu diseru bersama PAS.

Bercakap sewaktu membentangkan kertas kerja 'PAS Ganti Umno; Rasional dan Tindakan' di sini hari ini, beliau berkata Umno sudah hilang arah dan tidak mampu lagi untuk menjaga Melayu di negara ini.

"Orang Melayu perlu mencari bahtera penyelamat, maka parti yang mempunyai landasan yang jelas, terbukti dan teruji ialah PAS," katanya.

Beliau juga menggariskan 23 sebab mengapa rasional Umno perlu diganti, antaranya kerana Islam bukan dasar Umno malah Islam hanya menjadi kuda tunggangan.

Umno kata Idris hanya menjadikan Islam tidak lebih sebagai alat politik mereka.

Selain Islam, Umno juga jelasnya turut memperalatkan Melayu untuk kepentingan peribadi.

"Mereka guna perkara 153 dalam perlembagaan untuk mengaut keuntungan peribadi dan keluarga, akhirnya Melayu terus merempat di bumi sendiri.

"Di mana tempat Umno kuat, di situ Melayu merempat," tambahnya.

Umno juga dakwanya mengamalkan dasar Umno Putera bukan bumiputera.

Ianya satu bentuk diskriminasi bangsa hanya kerana berlainan ideologi yang menyebabkan peratus kemiskinan bumiputera meningkat.

Tambahnya lagi, Umno juga mengkhianat bahasa sendiri apabila memperkenal Pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Dari segi pembangunan modal insan pula, Umno katanya gagal mengatasi masalah sosial dan akhlak.

Ianya juga antara lain disebabkan peranan masjid yang turut dimatikan Umno malah meyuburkan pula industri maksiat.

Tambah Idris lagi, sejak 50 tahun memerintah juga, rasuah di bawah Umno terus meningkat malah sudah membarah di kalangan pemimpin dan ahli mereka.

"Sebenarnya punca kerosakan besar sebuah negara dan tamadun berpunca dari rasuah sehingga keselamatan negara terancam," katanya.

Paling teruk katanya Umno juga sanggup menggadai harta negara ke tangan asing.

Ianya termasuk menyerahkan telaga Blok L dan M kepada Brunei dengan nilai RM320 bilion, pulau Batu Putih kepada Singapura, dan juga memberi 217 hektar tanah KTMB kepada republik itu.

Sehubungan itu, ahli PAS perlu menerangkan perkara tersebut kepada rakyat agar mereka sedar siapa Umno sebenarnya.

Sebagai pelan tindakan, penjelasan perlu dibuat bagi menangkis fitnah Umno yang mendakwa kedudukan Islam, hak Melayu dan kedudukan Raja-raja Melayu tergugat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan