Sabtu, 27 November 2010

Tharmendran fail habeas corpus minta TUDM bebasnya

November 26, 2010
KUALA LUMPUR, 26 Nov — Bekas Sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) N. Tharmendran, yang telah didakwa di mahkamah atas tuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat milik TUDM, hari ini memfailkan habeas corpus untuk dibebaskan dari tahanan TUDM.
Tharmendran selaku pemohon memfailkan permohonan itu melalui peguamnya, N. Surendran dari tetuan Edwin Lim Suren & Soh di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.
Pemohon menamakan empat responden iaitu Leftenan Kolonel Mohd Razif Ramli; Komandan Pusat Tahanan Kem Batu Kentonmen; Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Datuk Sri Rodzali Daud; dan Menteri Pertahanan Malaysia.
Dalam afidavit sokongan yang disertakan, Tharmendran mendakwa penahanan dan penangkapannya semalam adalah tidak berasas, salah dan tidak sah mengikut undang-undang dan bersifat mala fide (jahat).
Tharmendran, 42, mendakwa penahanan itu tidak mengikut undang-undang kerana pemohon adalah orang awam dan tidak lagi berkhidmat dengan TUDM sejak 28 Mei lalu.
“Pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak lagi membayar gaji saya sehingga Jun 2010 dan selepas itu juga tidak memperbaharui kontrak kerja,” katanya.
Beliau juga mendakwa keempat-empat responden itu bertindak di luar bidang kuasa yang melakukan tangkapan dan tahanan secara tidak sah.
Surendran yang ditemui berkata, permohonan ini akan didengar pada 3 Disember ini dihadapan Hakim Datuk Su Geok Yiam.
Semalam, lima pegawai Jabatan Arah Provos Marsyal TUDM yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Razif menghampiri kereta yang dinaiki oleh Tharmendan dan ayahnya, N. Nagarajah yang sedang bersiap untuk pulang selepas prosiding mahkamah selesai.
Bagaimanapun, Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan berkata dalam satu kenyataan semalam bahawa kegagalan Tharmendran untuk hadir bertugas setelah membayar jaminan pada 6 September lepas sehingga ke hari ini merupakan satu kesalahan meninggalkan tugas yang bertentangan dengan peruntukan Akta Tentera 1972. — Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan