Rabu, 15 Disember 2010
Calisto pening catur strategi
"SAYA harap Malaysia dapat turunkan barisan pemain pertahanan ketika mereka dibelasah 5-1 oleh Indonesia tempoh hari. Jika itu berlaku, maka senanglah untuk kami menang."
Demikian andainan jurulatih Vietnam, Henrique Calisto pada sidang media di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam.
Pengendali dari Portugal itu mengakui agak pening memikirkan strategi untuk menghadapi Malaysia malam ini memandangkan jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal sering menukar barisan pemain pertahanannya.
"Sehingga sekarang saya masih tak tahu siapa pemain pertahanan yang bakal diturunkan Malaysia. Ketika bertemu Indonesia, mereka banyak lakukan kesilapan individu. Tapi ketika bertemu Thailand pula, mereka tampil dengan aksi cukup konsisten.
"Apa pun setelah meneliti banyak kali rakaman video aksi mereka, saya dapati Malaysia memiliki barisan pertahanan cukup tersusun dan jentera serangan yang tetap berbahaya," kata Calisto.
Ketika dibelasah Indonesia, Rajagobal menggandingkan Razman Roslan, Muslim Ahmad, Fadhli Shas dan Asraruddin Putra Omar manakala ketika bertemu Thailand gandingan yang digunakan ialah Mahali Jasuli, Muslim, Fadhli dan Asraruddin.
Namun pada aksi terakhir Kumpulan A bertemu Laos, Rajagobal menurunkan pula Mahali, Muslim, Faizal Muhammad dan Sabre Mat Abu.
Tidak cukup dengan itu, Calisto turun menambah helahnya dengan memberitahu bahawa Vietnam bakal turun tanpa tiga tonggak utama yang cedera serta seorang lagi pemain digantung perlawanan iaitu Nguyen Trong Hoang (jersi No. 11)
"Dua pemain pertahanan, Huynh Quang Thanh (jersi No. 16) dan Doan Viet Cuong (jersi No. 2) hampir pasti tidak dapat beraksi manakala pemain tengah, Phan Van Tai Em (jersi No. 22) saya dapati tidak cukup cergas sepenuhnya," jelas Calisto.
Namun kali ini Rajagobal pula mencelah sambil berkata: "Kami juga menghadapi masalah kecederaan yang lebih besar."
Ia merujuk kepada ketiadaan beberapa tonggak utama yang cedera panjang seperti Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak, Norhafiz Zamani Misbah, Nasriq Baharom, Baddrol Bakhtiar, Azmi Muslim, Ahmad Fakri Saarani, S. Chanthuru dan Bunyamin Umar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan