Khamis, 9 Disember 2010

Jika Pulau Pinang dikembalikan semula kepada Kedah

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Fakta yang tidak dapat ditolak sama sekali oleh sesiapa pun ialah, setiap inci tanah Negeri Pulau Pinang sekarang ini asalnya adalah hak milik Kerajaan Negeri Kedah di bawah pemerintahan Sultan Kedah yang berkuasa pada suatu masa dahulu.
Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah yang lalu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Amiruddin Hamzah membangkitkan isu kadar pajakan Pulau Pinang, dengan menuntut dinaikkan daripada RM10 ribu kepada RM10 juta setahun.


Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abd Razak pula berharap isu tuntutan kadar pajakan Pulau Pinang dibuat peniaian semula dan diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan. Bukan setakat nilai pajakan yang tidak munasabah,
Pulau Pinang juga telah mendapat manfaat besar secara percuma dari Kedah iaitu sumber air. Kedah berkorban untuk tidak menebang hutan tadahan demi untuk menjaga sumber air yang sungainya mengalir ke sempadan kedua negeri. Pulau Pinang menyedut air mentah tanpa menghulur satu sen pun kepada Kedah, sehingga mereka mampu mengenakan caj air yang paling rendah di negara ini.
Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) menganggap tuntutan menaikkan kadar pajakan dari RM10 ribu bukan isu pokok. Yang Dipertua PSMCK, Datuk Wan Shamsudin Mohd Yusof menegaskan bahawa tuntutan yang sewajarnya dibuat adalah terhadap tanah Pulau Pinang dan Seberang Perai (Province Wellesley) itu sendiri. Ianya milik mutlak Kedah.
“Sultan Kedah masih berhak ke atas Pulau Pinang memandangkan bayaran pajakan yang dibuat setiap tahun membuktikan ia masih dimiliki oleh Kedah,” ujar Wan Shamsudin.
Sepatutnya selepas negara mencapai kemerdekaan, Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah seperti mana Dinding dan Pangkor dikembalikan kepada Perak. Pajakan Pulau Pinang dan Seberang Perai kepada British oleh Sultan Kedah dibuat pada tahun 1786. Berdasarkan perjanjian itu kadar pajakan untuk Pulau Pinang ialah RM6 ribu manakala RM4 ribu bagi Seberang Perai. Masyhur tercatat dalam sejarah bahawa perjanjian itu berkuatkuasa selagi ada matahari dan bulan.
Nilai pajakan sebenarnya bukan menggunakan Ringgit atau RM. Ia menggunakan ‘Spanish Gold Coin’ yang nilainya lebih besar berbanding Ringgit pada masa itu. Wang Sepanyol digunakan kerana mereka kuasa ekonomi dunia ketika itu. Macamlah orang menggunakan Dollar USA sekarang ini.
Pengambilan Pulau Pinang dan Seberang Perai oleh British tidak dibuat secara sah mengikut undang-undang antarabangsa. Perjanjian 1786 dibuat dengan Inggeris adalah atas faktor keperluan ekonomi dan pertahanan kerana Kedah ketika itu menerima ancaman Siam.
Dalam perjanjian lisan itu Kaptain Francis Light tidak menyerahkan surat permohonan Sultan Abdullah Mukarram Shah iaitu Sultan Kedah yang ke-20 yang memohon bantuan ketenteraan kepada pihak Syarikat Hindia Timur di Benggala India. Francis Light dikatakan menipu.
Sebaliknya jawapannya secara lisan ialah pihak Inggeris hanya akan timbangkan permohonan itu. Namun Sultan Abdullah bermurah hati membenarkan Light duduk sementara di Pulau Pinang, berlanjutan sehingga beliau meninggal dunia.
Dari aspek sejarah, tuntutan kedaulatan Pulau Pinang sebagai milik Kedah adalah jelas. Aspek perundangan juga mungkin kuat menyokong. Tetapi hari ini kuasa yang lebih kuat dari sejarah dan undang-undang ialah politik. Kuasa politik lebih kuat dari ‘ketuanan Melayu’.
Maksudnya begini. Tuan asal bagi Pulau Pinang dan Seberang Perai ialah Sultan Kedah pada masa itu. Baginda adalah orang Melayu. Namun warisan kesultanan Melayu Kedah hari ini belum tentu dapat mengambil balik Pulau Pinang dan Seberang Perai dengan ‘begitu mudah’ tanpa peranan kuasa politik Kerajaan Pusat. ‘Hendak mengambil kembali atau tidak’ adalah satu isu lain, tetapi perlu atau tidak diambil balik lebih ditentukan oleh penguasa politik yang ada. Tidak semua yang boleh dibuat, wajar pula untuk dibuat.
Ada individu mendakwa pewaris kesultanan Melaka. Dia mengemukakan bukti-bukti yang ada. Tiada siapa peduli, bukan kerana buktinya palsu tetapi kerana penguasa yang ada tidak rasa perlu untuk kesultanan Melaka disambung semula.
Tuntutan untuk mengembalikan Pulau Pinang ke tangan Kedah juga begitu. Sifirnya lebih kurang sama dengan Singapura yang disingkir dari Malaysia. Tunku Abdul Rahman tidak menyatakan dengan jelas sebab musababnya, tetapi semua tahu bahawa ia lebih kepada tindakan (kononnya) untuk menyelamatkan kuasa politik orang Melayu. Ada unsur perkauman tersulam di situ.
Jika Kedah serius mahu mengambil balik Pulau Pinang, maka sentimen perkauman akan menenggelamkan konsep 1 Malaysia atau ketuanan rakyat. Sementara rakyat berada dalam aman sejahtera, rasanya tiada pemimpin politik yang tidak semena-mena mahu mengambil tindakan songsang mencetuskan huru hara.
Dewan Undangan Negeri Kedah mempunyai 36 kerusi manakala Pulau Pinang memiliki 40 kerusi. Katakan Kedah dan Pulau Pinang bergabung membentuk sebuah negeri khayalan. Kerusinya menjadi 76. Komposisi yang ada berdasarkan keputusan pilihanraya umum ke 12 lalu ialah: Umno – 23, DAP – 20, PAS – 17, PKR – 14, MCA – 1 dan Gerakan - 1.
Oleh kerana kerusi majoriti Melayu merupakan sektor terbesar, maka jika BN atau PR yang berkuasa di negeri ini, maka menteri besarnya tentulah dari kalangan orang Melayu. Adakah bukan Melayu akan menyetujuinya? Pastinya tidak, kerana sekurang-kurangnya sewaktu Pulau Pinang dan Kedah menjadi dua negeri yang terpisah, bukan Melayu dapat merasai Ketua Menteri dari kalangan mereka. Maka oleh kerana aspek kaum terus yang menjadi penentu lanskap kuasa maka tidak ada pihak (baik BN atau PR) akan mengorbankan undi Cina demi memenuhi tuntutan sejarah.
Usaha PSMCK adalah serius kerana mereka adalah manusia yang prihatin dengan sejarah. Tetapi scenario politik yang ada hari ini akan menjadikan usaha PSMCK untuk mengembalikan Pulau Pinang dan Seberang Perai ke tangan Kedah, akan menjadi satu bahan sejarah juga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan