Khamis, 30 Disember 2010

Majikan perlu bayar jika mahu pekerja mereka bekerja esok — Subramaniam

December 30, 2010
Datuk Dr S Subramaniam (tiga kiri) semasa merasmikan Program Penempatan Pekerjaan di Institut Latihan Perindustrian, hari ini. — Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 30 Dis — Majikan perlu membayar upah kadar cuti umum kepada pekerja jika memerlukan mereka bekerja esok, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam. “Kalau mereka memerlukan pekerja mereka bekerja, kena bayarlah. Itu adalah hak pekerja untuk mendapatkan bayaran hari cuti kerana sudah diumumkan sebagai cuti umum,” katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata jika majikan gagal memberikan cuti umum atau membayar mengikut kadar cuti umum, pekerja yang terlibat boleh membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja.
Majikan berkenaan boleh dikenakan tindakan jika didapati bersalah, katanya kepada pemberita selepas menyaksikan percubaan dua kanak-kanak mencipta rekod Malaysia Book Of Records.
Malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 31 Dis (esok) sebagai cuti umum sempena kejayaan skuad bola sepak negara menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 selepas menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2, menamatkan penantian selama 14 tahun.
Terdahulu, dua beradik dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang berjaya mencatat nama dalam Malaysia Book of Records kerana mencipta rekod tersendiri.
T. Thurgashree, kanak-kanak cilik berusia empat tahun mencipta rekod menerusi ‘‘Most Sit Ups Ever Done By A Child’’ selepas melakukan ‘‘sit ups’’ sebanyak 1,111 kali tanpa henti dalam masa 32 minit 21 saat.
Kakaknya T. Logassree, 8, pula berjaya mengangkat palang besi bersama plat seberat 21 kilogram dengan menggunakan dua jari kelingking.
Bapa mereka, A.M Thanabalsingam berkata kedua-dua anaknya itu telah memulakan latihan fizikal dan mental sejak enam bulan lepas.
“Latihan dijalankan setiap hari selama empat jam merangkumi latihan fizikal, kecergasan dan latihan angkatan. Selain itu, saya memastikan amalan pemakanan yang sihat,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan