Rabu, 29 Disember 2010

Muhyiddin Yassin ‘tergeliat otak’

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Sebuah akhbar harian bertarikh 15 Disember melaporkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan tajuk ‘Ramalan PAS fitnah’. Ia merujuk kepada andaian Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang membayangkan kemungkinan BN akan melakukan rampasan kuasa jika kalah dalam pilihanraya umum akan datang. Andaian Mahfuz itu pula bersandarkan kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib bahawa mereka akan tetap menerajui Putrajaya meskipun tewas dalam pilihanraya umum ke 13.

“Semua itu satu pembohongan, fitnah dan berniat jahat,” kata Muhyiddin.

Pihak yang mula mencetus kenyataan kontroversi itu ialah Najib. Jika BN kalah, masih juga hendak terajui Putra Jaya, ia hanya membawa kepada dua maksud. Pertama, BN akan beli wakil rakyat parti lawan macam di Perak. Sehingga mereka mempunyai majoriti, maka mereka akan berkuasa di Pusat melalui penubuhan kerajaan katak. Kedua, dengan melakukan rampasan kuasa macam yang sering berlaku di Thailand. Itu saja andaiannya dari tafsiran kata-kata Najib. Tiada andaian lain yang boleh dibuat selain itu.

Mahfuz memilih andaian kedua. Itupun sekadar satu andaian, bukan tuduhan yang nyata bahawa BN akan melakukan perkara tersebut jika mereka kalah dalam pilihanraya umum. Tetapi bagi Muhyiddin, andaian pun boleh jadi fitnah. Spekuasi, ramalan, andaian, tilikan atau apa-apa perkataan yang semaksud dengannya adalah perkara yang belum berlaku. Sama ada ia akan betul-betul berlaku atau tidak belum pasti. Selagi ia belum berlaku maka orang yang membuat ramalan belum berbohong atau memfitnah. Kalau berlaku tidak seperti diramalkan pun ia tetap bukan fitnah kerana ia cuma andaian. Nampaknya Muhyiddin ‘tergeliat otak’.

Persoalan berikutnya ialah jika benar BN tidak bercadang mahu melakukan rampasan kuasa atau menubuhkan sebuah kerajaan katak selepas tewas dalam pilihanraya umum kelak, maka apa pula maksudnya kata-kata Najib bahawa BN tetap akan berkuasa sekalipun tewas. Silalah jawab.

Seterusnya pada 21 Disember, sebuah lagi akhbar harian melaporkan kenyataan Muhyiddin di bawah tajuk, ‘Pembohongan besar untuk tipu rakyat.’ Timbalan Pengerusi BN itu merujuk kepada Program 100 Hari yang dikemukakan Pakatan Rakyat jika dapat mengambilalih kerajaan Pusat.

Aneh, macam mana Pakatan Rakyat dilaporkan sudah berbohong sedangkan pilihanraya umum ke 13 pun belum berlaku. Tak apalah, katakan BN kalah dan Pakatan menang. Jika tamat tempoh yang dijanjikan, iaitu selepas 100 hari berkuasa, Pakatan tidak tunai janji barulah boleh dikatakan mungkir janji, bohong atau menipu. Lagi sekali Muhyiddin ‘tergeliat otak’, asyik terbabas dengan kenyataannya.

Satu lagi kenyataan Muhyiddin yang mengelirukan yang dilaporkan dalam akhbar yang sama ialah, “Jika 40,000 orang guru diberikan imbuhan bulanan sebanyak RM500, ini bermakna kerajaan pembangkang perlu membelanjakan RM200 juta sebulan.” Di mana agaknya Menteri Pelajaran itu belajar istilah ‘kerajaan pembangkang’, kerana dalam amalan demokrasi pembangkang tidak boleh bentuk kerajaan kerana tidak cukup majoriti. Sekali lagi Muhyiddin terbabas. Dia tidak layak untuk jaga guru-guru sedangkan dia sendiri jahil dalam penggunaan istilah dalam bahasa yang mudah.

Kekelamkabutan pemikiran Timbalan Presiden Umno itu adalah manifestasi dari rasa ketakutan yang bukan kepalang mengenai kemungkinan hilang kuasa di Pusat.

Jika lebih dua dekad lalu, kenyataan standard pemimpin BN setiap kali mengulas janji pihak lawan sebelum pilihanraya ialah, “Mereka tiada masalah untuk berjanji kerana tahu tidak akan menang pilihanraya.” Kini selepas Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor pernah ditawan maka kenyataan bertukar menjadi, “Jangan percaya janji pembangkang.”

Amalan di negara-negara yang subur demokrasinya, parti politik berpeluang menceritakan manifesto masing-masing. Biasa juga mereka mengkritik manifesto pihak lain, mungkin kerana kononnya kerana ada aspek sampingan yang tidak diteliti. Atau ada aspek-aspek yang tidak praktikal dalam manifesto tersebut. Maka mereka pun memberi hujah menolak manifesto pihak lawan berasaskan fakta-fakta yang dilihat kukuh. Tapi tiada pula di kalangan mereka yang menjerit memberitahu rakyat, “Jangan percaya janji parti lawan, mereka menipu!” Maka nampak sangatlah perangai buruk BN dalam menghadapi pihak lawan terlalu primitif dan kebudak-budakan.

Tindakan Pakatan Rakyat mengumumkan agenda bertindak jika berkuasa dalam jarak waktu lebih jauh dari pilihanraya, akan menambahkan beban kerja BN. Sebelum ini isi manifesto hanya terdedah kepada rakyat selepas Parlimen dibubarkan. Di waktu semua media utama masih di bawah cengkaman kuku besi BN, sebahagian besar isi manifesto pembangkang tidak sempat sampai kepada rakyat kerana digelapkan oleh mereka.

Kini awal-awal lagi rakyat sudah tahu bahawa jika Pakatan Rakyat menang di Pusat maka tol akan dihapuskan, imbuhan untuk guru bertambah RM500, para perasuah (yang selama ini dilindungi) diheret ke muka pengadilan, ISA dihapuskan, pinjaman PTPTN distrukturkan semula, media menjadi bebas, kebajikan warga emas diutamakan, WiFi percuma kepada seluruh rakyat, berusaha meningkatkan pendapatan isi rumah ke RM4,000, memperbanyak dialog antara agama untuk mewujudkan keharmonian dan menjadikan polis, SPR dan SPRM sebuah badan bebas yang tidak terikat dengan arahan politik mana-mana pihak. Nah, tiada siapa yang waras akan menolak segala kebaikan yang akan dibawa oleh Pakatan Rakyat itu.

Rakyat biasa yang menjadi ahli parti politik BN pun akan terliur dengan tawaran itu. Maka satu-satu propaganda BN untuk mengajak rakyat menolak tawaran itu ialah, “Pakatan Rakyat bohong, jangan percaya.” Lalu mereka pun akan mencari pelbagai ‘bukti’ untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa Pakatan berbohong, melalui cara berbohong yang bagi mereka adalah halal.

Berbohong bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang berbohong pada rakyat bahawa wang ehsan untuk warga emas adalah duit hasil berjimat, walhal duit hasil judi; adalah satu contoh “berbohong dengan menuduh pihak lain bohong”. BN kemudian melancar program mengutip kembali wang ehsan tersebut dari warga emas untuk dikembalikan kepada kerajaan negeri, tapi tidak dikembalikan pun. Bohong lagi. Bohong BN bohong yang berlapis-lapis.

Semakin dekat dengan pilihanraya, semua media talibarut BN akan melakukan kerja berbohong kepada rakyat mengenai Pakatan Rakyat setiap waktu dan detik. Andai BN terus berkuasa selepas ini, maka kemenangannya kerana berjaya membohongi rakyat, di samping kejayaan merasuah rakyat. Masih ada nilaikah sebuah kerajaan yang naik kerana rasuah dan pembohongan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan