Rabu, 15 Disember 2010

Perhimpunan anak India Kelantan di Batu Caves Ahad ini

December 14, 2010
KUALA LUMPUR, 14 Dis — Kira-kira 2,000 rakyat Malaysia keturunan India dari Kelantan bercadang berhimpun di Batu Caves di sini Ahad ini bagi memperingati 100 tahun kehadiran mereka di negeri itu.
Presiden Persatuan Warisan Anak India Kelantan (SOKMO) S. Perumal, hari ini berkata majlis perjumpaan itu merupakan platform penting untuk penyatuan semula kaum India yang berasal dari Kelantan serta menjalinkan jaringan.
Katanya acara itu diadakan di ibu negara kerana terdapat kira-kira 700 buah keluarga tinggal di Lembah Klang serta juga bagi tujuan logistik.
“Kami harap untuk menghubungi kesemua anggota keluarga yang putus hubungan dan pada masa sama meningkatkan identiti kaum India dari Kelantan di kalangan rakyat,” katanya pada sidang media di sini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang juga Ahli Parlimen Jeli, akan merasmikan majlis perhimpunan itu, katanya.
Perumal berkata persatuan itu telah memohon sebidang tanah dari kerajaan negeri Kelantan bagi membina bangunan Persatuan Kebudayaan India Kelantan sebagai pengiktirafan kepada masyarakat itu.
Katanya masyarakat itu merupakan antara tenaga penting dalam menyumbang kepada sektor perladangan di negeri itu sejak seabad lalu.
“Walaupun kami adalah komuniti kecil, sumbangan kami adalah besar kerana Kelantan hanya bergantung kepada perladangan sebagai sumber pendapatan ketika itu,” jelasnya.
Ramai tenaga kerja dibawa oleh Duff Development Company untuk bekerja di ladang-ladang seperti Sokor, Mengkebang, Kerala dan Takur yang terletak di sepanjang Sungai Kelantan, katanya.
Menurutnya majoriti daripada tenaga kerja datang daripada kawasan utara Tamil Nadu, India, khususnya Vellore, pada awal tahun 1900-an. — Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan