Rabu, 29 Disember 2010

Salji buruk lumpuhkan New York


SEORANG lelaki menyodok salji bagi membolehkan sebuah kenderaan yang terperangkap bergerak di Newark, New Jersey semalam.


NEW YORK - Pengangkutan udara dan darat di timur laut Amerika Syarikat (AS) tergendala semalam selepas kawasan tersebut dilanda ribu salji.
Ribut itu yang bermula pada malam kelmarin dan berterusan hingga pagi semalam, menurunkan salji setebal 74 sentimeter yang meliputi jalan-jalan raya ketika orang ramai bercuti sempena Hari Krismas.
Salji tebal menyebabkan perjalanan kereta api dan bas terjejas selepas jalan-jalan raya menjadi licin.
Selain pengangkutan, aktiviti harian di beberapa kawasan paling teruk terjejas iaitu di bandar raya New York, timur New Jersey dan barat Long Island turut lumpuh.
Banyak penerbangan tergendala selepas Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy dan Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty ditutup.
Sebanyak 1,400 penerbangan terpaksa dibatalkan di tiga buah lapangan terbang utama di New York.
Keadaan itu menyebabkan perkhidmatan kereta api ke New York dihentikan sementara dan perkhidmatan bas ke Pantai Timur juga tergendala.
"Kelajuan angin sehingga 89 kilometer sejam (km/j) dan tanah juga menjadi licin. Ia amat merbahaya," kata Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg.
Lebih 2,400 pekerja pembersihan dikerahkan membersihkan lebuh raya, laluan bas dan jalan bandar sepanjang 9,656 kilometer.
Pada Ahad lalu, salji setebal 27.9 sentimeter turut meliputi kawasan di bandar raya Elizabeth di Union Country.
Di New Jersey, sebanyak 100 kemalangan di jalan utama berlaku yang memaksa had laju diturunkan kepada 56 km/j.
- Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan